Lagi Tentang Perkembangan Maisilium.

Selasa, 15hb Ogos 2007 kira-kira jam 11:20 pm, 1 daripada 10 beg cendawan eksperimen saya telah putih keseluruhannya. Bermakna maisilium sudah menawan seluruh luas permukaan beg cendawan. Rekod menunjukkan masa yang diambil oleh maisilium untuk memenuhi luas permukaan beg cendawan yang berlabel no.8 ini ialah selama 39hari. Dari pemerhatian yang dilakukan, dalam tempoh 24 jam, purata perkembangan maisilium adalah sebanyak 0.5cm ke 0.55cm. Hanya untuk beg cendawan berlabel no.8 ini sajalah.


Gambar menunjukkan beg cendawan berlabel no.6 dan no.8.


Antara ciri-ciri beg cendawan berlabel no. 8 ini adalah seperti berikut:

  1. Berat beg cendawan = 780 gram
  2. Panjang beg cendawan = 21 cm
  3. Suhu bilik adalah dalam lingkungan 26 deg. celcius ke 30 deg. celcius.
  4. Kelembapan antara 80% ke 90%

Beg cendawan berlabel 6 akan mengikuti jejak langkah beg cendawan berlabel 8. Maisilium didapati telah memenuhi 99% daripada luas permukaan beg cendawan. Hanya tapak beg sahaja masih kelihatan habuk kayu (Seperti gambar dibawah). Bagi beg-beg cendawan lain perkembangan maisiliumnya agak perlahan terutama beg cendawan yang di isi padat dengan media seperti gambar dibawah.





Inilah beg cendawan berlabel no.6. Hanya tapak beg

cendawan sahaja maisilium belum dapat takluki.



Susunan beg cendawan diatas adalah beg cendawan

dengan media yang longgar, manakala susunan dibawah

adalah beg cendawan dengan media yang padat.

Seperti tulisan saya di blog ini pada 11hb Ogos 2007. Saya berkata akan buka penutup beg cendawan berlabel no.8 pada hari ke-45 iaitu pada hari Selasa bersamaan 22hb Ogos 2007. Kita sama-sama nantikan adakah cendawan sulung akan berputik?. Jangan ketinggalan laporan seterusnya di e-cendawan.com








Lawatan ke Ladang Cendawan AL-FADTULLAH.

Selasa, 14hb Ogos 2007. Sesi Lawatan Sosial dan Ilmiah ke-2. Pada kali ini saya mengambil peluang untuk melawat Ladang Cendawan Al-Fadtullah yang diusahakan oleh Atiqah Trading Agrotech bertempat di Sg. Dara, Behrang Hulu, Perak.

Sebenarnya ladang cendawan ni milik sifu (tok guru) saya iaitu Tn. Hj. Dr. Johari Bin Hj. Mat Isa. Dengan tuan haji ini lah saya belajar bagaimana nak menguruskan atau mengusahakan projek tanaman cendawan secara komersil. Sedikit latarbelakang tentang sifu saya ni….. Beliau sebenarnya adalah seorang Doktor Homeopathy. Menyedari sektor pertanian terutamanya penanaman cendawan tiram mempunyai masa hadapan yang cerah, beliau telah mengambil inisiatif untuk mengusahakan projek cendawan secara komersil.

Projek tanaman cendawan yang diusahakan oleh Dr. Johari dan isterinya bermula 3 tahun yang lepas. Dimana tempoh 1 ke 2 tahun adalah lebih kepada kajian tentang cendawan tiram. Pada tahun 2007 ini, beliau telah mengembangkan perniagaannya dengan membina sebuah rumah cendawan berskala besar iaitu 26’ x 115’ dilengkapi dengan sebuah makmal penghasilan benih cendawan dan sebuah bilik suntikan benih berhawa dingin. Rumah cendawan ini mampu memuatkan sebanyak 80 ribu bongkah atau beg cendawan.

Ini lah rumah cendawan milik Tn. Hj. Dr. Johari.
Lokasinya yang terletak didalam dusun durian dan
berhampiran Banjaran Titiwangsa membuatkan suhu
persekitaran sentiasa sejuk.

Penemuan terbaru, Dr. Johari telah berjaya menghasilkan benih cendawan yang boleh mencapai tempoh matang hanya dalam 40 hari. Ini bererti cendawan boleh dituai dalam tempoh masa hanya 45 ke 50 hari sahaja berbanding benih biasa 70 ke 90 hari. Benih cendawan ini telah diberi nama ‘ATF 40’. Sesiapa yang berminat dengan benih cendawan ini bolehlah terus menghubungi beliau di talian 05-4541635.

Tarikh pembenihan 2/8/2007. Tempoh matang 40 hari dari

tarikh tersebut. Dalam 15/9/2007 dan boleh kutip hasil.

Buat masa ini beliau masih lagi membuat kajian untuk menghasilkan benih cendawan yang dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh masa yang lebih singkat. Diharapkan usaha beliau untuk menghasilkan benih cendawan tersebut akan berjaya dalam masa terdekat.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari teknik penanaman cendawan tiram ini, Dr. Johari juga ada mengadakan Kursus Intensif Penanaman Cendawan (Teori & Praktikal). Kursus seterusnya yang bakal diadakan adalah seperti dibawah:

Tempat : Al-Fadtullah Mushroom (Showroom),
No.11 Kampung Padang,
35950 Behrang Stesyen, Perak.

Tarikh & Masa: Sabtu, 25hb Ogos 2007, Jam 8:00 pagi.


Kepada sesiapa yang berminat sila daftar awal kerana tempat adalah terhad. Untuk keterangan lanjut sila hubungi kakitangan Atiqah Trading Agrotech di talian : 05-4541635. Peralatan kursus, modul kursus, sarapan pagi, makan tengahari dan minum petang akan diberi percuma. Diakhir kursus anda juga akan dikurniakan sijil penyertaan dan juga cenderamata.

Keistimewaan kursus anjuran Atiqah Trading Agrotech ini ialah anda akan didedahkan tentang bagaimana untuk membuat pinjaman kewangan dari badan kerajaan oleh seorang penasihat kewangan yang berpengalaman.

OK….semoga lawatan dan kunjungan ini akan mengeratkan hubungan antara Sifu dan Anak didiknya iaitu antara ATIQAH TRADING AGROTECH dan ARIELA ENTERPRISE. Akhir kata terima kasih diucapkan kepada Tn. Hj. Dr. Johari Bin Hj. Mat Isa diatas bimbingan dan motivasi yang berterusan walaupun saya sudah lebih sebulan tamat menjalani kursus. Semoga bisnes Dr. Johari terus berkembang maju INSYAALLAH…..

Lawatan ke Ladang Cendawan GENTING PERMAI RESOURCES.

Cuti hujung minggu kali ini saya luangkan masa untuk mengunjungi Ladang cendawan Genting Permai Resources yang bertempat di Batang kali, Selangor. Ladang cendawan ini menjadi lokasi pertama Sesi Lawatan Sosial dan Ilmiah yang telah lama saya rancang selama ini.

Lebih kurang 30 minit perjalanan dengan menaiki kereta dari kediaman saya di Tanjung Malim, Perak akhirnya saya tiba di Ladang Cendawan Genting Permai Resources milik Puan Zainon Bt. Ariffin. Setibanya di sana, saya dan keluarga disambut mesra oleh Puan Zainon dan anak lelakinya.


Gambar kenangan. Tanda hubungan antara
Genting Permai Resources dan Ariela Enterprise.

Ladang cendawan milik Puan Zainon terletak diatas tanah seluas 1-1/2 ekar milik keluarga. Terdapat 3 rumah cendawan yang dibina disana. Sebuah rumah eraman bersaiz 20’ x 40’ dan 2 buah rumah tuai bersaiz 20’ x 30’. Rumah-rumah cendawan milik Puan Zainon dijaga dengan rapi. Lokasinya dibawah rimbunan pokok membuatkan suasana di rumah-rumah cendawan redup dan sekaligus suhu persekitaran sentiasa terkawal. Selain itu Jabatan Pertanian juga telah bermurah hati meminjamkan 2 buah rumah kuarter kepada Puan Zainon untuk menempatkan blok/beg cendawan-cendawan yang dihasilkannya.

Ni lah salah satu rumah cendawan
milik Puan Zaitun. Kemas dan teliti binaannya.


Puan Zainon dahulunya berkerja dengan Telekom Malaysia . Beliau bersara awal dan dengan sedikit wang pampasan yang diperolehinya beliau memberanikan diri, menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu. Hasilnya sekarang kurang 2 tahun beliau sudah berjaya memiliki semula modal yang telah dilaburkannya.

Beg Cendawan yang tersusun rapi. Satu rak boleh
memuatkan sebanyak 1500 beg/blok cendawan.


Dari segi pemasaran, Puan Zainon tidak mengalami masalah. Beliau telah menandatangani kontrak dengan CIMA Agro selama 3 tahun. Hasil tuaian cendawan beliau akan diambil oleh CIMA Agro untuk dipasarkan. Baru-baru ini beliau juga telah menerima kontrak membekalkan cendawan kepada seorang rakyat Jepun. Dengan kontrak baru ini beliau perlu membekalkan cendawan tiram sebanyak 200kg seminggu.

Menurut beliau, kadang-kala ladang cendawan miliknya tidak dapat untuk memenuhi permintaan rakyat Jepun tersebut. Untuk mengatasi masalah tersebut, beliau telah mendapatkan bantuan bekalan cendawan dari beberapa orang pengusaha cendawan tiram sekitar Daerah Hulu Selangor.

Pada masa hadapan beliau dengan kerjasama FAMA bercadang untuk memasarkan cendawan tiram kelabu ke pasaraya besar seperti Giants, Carrefour dan Tesco. Perbincangan telah dilakukan dan kertas kerja telah diserahkan kepada FAMA.Untuk mencapai matlamat ini beliau perlu mendapatkan bekalan cendawan dalam kuantiti yang besar. Oleh itu beliau menyeru kepada pengusaha-pengusaha kecil cendawan sekitar Selangor bergabung menjadi komuniti yang besar bagi merealisasikan hasrat beliau.

Hampir dua jam saya berada di Ladang Cendawan Genting Permai Resources milik Puan Zainon ini, berborak dan bercerita berkenaan cendawan. Kira-kira jam 11.30 pagi saya pun meminta izin untuk beredar.. Sebelum beredar Puan Zainon bekalkan saya dengan 200g cendawan tiram kelabu segar yang baru dituai.


Cendawan segar yang diberi oleh Puan Zainon


Cendawan yang diberi oleh Puan Zainon selepas digoreng.
Makan cecah dengan sos dan mayonis... yum..yum sedapnya.

Semoga hasil lawatan ini dapat menjalinkan hubungan erat antara GENTING PERMAI RESOURCES dengan ARIELA ENTERPRISE. Akhir kata sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Puan Zainon atas kesudian beliau menerima kunjungan saya sekeluarga.