Showing posts with label Eksperimen. Show all posts
Showing posts with label Eksperimen. Show all posts

Eksperimen 2: Kaedah Rawatan Beg Media Bermasalah

Salam bertemu lagi pelawat blog e-cendawan.com. Pada minggu lepas saya dapati 12 beg media saya diserang ulat halus dan 6 beg media lagi diserang ulat yang agak besar. Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang cara/kaedah merawat beg media cendawan yang diserang perosak iaitu ulat.

Kejadian ulat membiak di dalam beg media berkemungkinan disebabkan serangga yang berterbangan hinggap di atas span penutup peram semasa proses penyejukan. Beg media cendawan yang sudah di kukus akan mengeluarkan bau habuk kayu yang kuat. Mungkin bau tersebut menjadi tarikan serangga untuk menghampiri beg media dan hinggap diatas span sekaligus bertelur diatasnya. Jadi telur tersebut memasuki beg media melalui liang-liang kecil span dan menetas menjadi ulat. Ini semua anggapan saya, mungkin ada sebab-sebab lain yang tak dapat saya pastikan.

Jadi bila berhadapan situasi seperti ini, apa yang dapat kita lakukan adalah dengan membunuh ulat di dalam beg media tersebut. Berikut adalah kaedah yang saya lakukan untuk merawat beg media yang diserang ulat:-


1- Ulat bersaiz besar dan dapat dilihat dengan jelas seperti gambar diatas (kanan).

Caranya adalah ambil jarum, cucuk ulat tersebut di bahagian kepala dan ekornya (Jika cucuk dibahagian badan biasanya ulat tersebut masih boleh bergerak). Kemudian tampal bahagian yang berlubang kesan tusukan jarum pada beg media dengan selefon tape.

2- Ulat bersaiz kecil, sukar dilihat dan terlalu banyak di dalam beg media seperti gambar diatas (kiri).

Caranya ialah dengan mengukus semula beg media tersebut kira-kira sejam setengah atau sehingga semua ulat dalam beg media mati. Sejukkan beg media selama 2 hari 1 malam, dan kemudian suntik semula dengan benih cendawan yang baru. Tutup beg media dengan penutup rehat selama 2-minggu untuk mengelakkan beg media daripada jangkitan dan gantikan dengan penutup peram selepas 2 -minggu.

Jika dibiarkan ulat-ulat ini terus membiak didalam beg media, kesannya ialah benih pada leher beg media akan mati dan perkembangan maisilisium juga akan terjejas dan berkemungkinan mati (lihat gambar dibawah) .

Langkah Pencegahan:-

Selepas proses beg media di kukus dan semasa proses penyejukan dilakukan, jangan dedahkan beg media tersebut. Sebaiknya tutup dengan surat khabar agar tiada serangga dapat hinggap di atas span.

Selepas suntikan benih di lakukan, jangan tutup beg media dengan penutup peram, sebaliknya tutup dengan penutup rehat selama 2-minggu. Tujuannya untuk mencegah sebarang jangkitan/serangga pada beg media. Pada kebiasaanya jangkitan hanya akan berlaku dalam tempoh 2-minggu terawal selepas suntikan dilakukan. Selepas 2-minggu berlalu, barulah tukar penutup rehat dengan penutup peram.

KEPUTUSAN EKSPERIMEN:

Beg media yang telah dikukus dan disuntik semula benih cendawan baru pada 25hb September 2007 telah menampakkan maisilium pada 1hb Oktober 2007.


Bagaimanakah kualiti beg cendawan tersebut, kita sama-sama nantikan keputusannya hanya di web blog e-cendawan.com

Eksperimen 1: Kaedah Rawatan Beg Media Bermasalah

Serangan serangga dan penyakit adalah perkara biasa dalam perusahaan tanaman cendawan. Jangkitan kulat kuning, hijau, hitam dan jingga disamping serangga dan ulat merupakan masalah utama dalam mengusahakan tanaman cendawan.


Apabila berlaku perkara sebegini, terutamanya serangan kulat kuning, hijau, hitam dan jingga. Langkah pertama yang biasa dilakukan adalah mengasingkan beg media yang bermasalah ini daripada beg media yang lain. Walaubagaimanpun ada sesetengah pengusaha yang tidak mahu mengambil risiko terus membuang beg media yang bermasalah ini.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan kaedah rawatan beg media bermasalah iaitu beg media yang diserang kulat hitam. Jika serangan bermula pada bahagian atas beg media iaitu di bawah leher, kita masih berpeluang untuk melakukan rawatan. Syaratnya maisilium sudah menjalar melebihi kawasan serangan kulat hitam tersebut. Langkah dibawah adalah cara atau kaedah rawatannya:-

1-Buka penutup eram dan leher pada media.
2-Cungkil keluar habuk kayu yang diserang kulat hitam tersebut.
3-Sterilkan leher dan penutup eram (rendamdalam larutan dettol).
4-Potong polibeg yang telah diserang kulat tersebut.
5-Pasangkan semula leher dan penutup eram yang telah disteril.


Kaedah ini juga boleh digunakan bagi beg media yang diserang kulat kuning dan hijau. Kaedah ini juga telah banyak dipraktikkan oleh ramai pengusaha cendawan di Malaysia. Sejauh mana keberkesanannya? Kita sama-sama nantikan laporan eksperimen ini hanya di e-cendawan.com

Laporan Perkembangan Maisilium Minggu ke-10

Isnin, 10hb September 2007 cendawan sulung sudah mula berputik pada beg cendawan berlabel no. 2, 5, 6, 7 dan 8. Dan pada 13hb September 2007 (selepas 4 hari penutup rehat dibuka) cendawan sedia dituai. Kebetulan pula hari pertama puasa cendawan tadi dituai. Jadi dapatlah saya merasa makan cendawan sulung yang saya hasilkan. Rezeki bulan Ramadhan agaknya. Alhamdulillah....


Gambar cendawan yang sudah berputik diawal pagi 13hb Sept. 2007

Satu daripada 5 beg cendawan tadi telah terkoyak rupanya. Jadi cendawan tidak keluar pada mulut beg cendawan sebaliknya keluar pada permukaan beg cendawan yang kotak tersebut. Apa yang menariknya cendawan yang keluar dari beg cendawan yang koyak tadi mempunyai kelopak yang besar jika dibandingkan dengan cendawan dari beg cendawan yang lain. Dari ukuran yang dibuat lebar kelopak cendawan tersebut mencecah 14cm.


Beg cendawan berlabel no. 2 yang bocor. Cendawan

pun ambil peluang keluar pada kebocoran tersebut.



Kelopak cendawan yang paling besar dihasilkan

14cm. Ada lagi ke yang lebih besar dari ni?....

Berat maksimum dari beg cendawan

direkodkan seberat 90 gran

Dari apa yang telah terhasil. Dapatlah dibuat kesimpulan daripada eksperimen ini bahawa beg cendawan yang tidak padat boleh mencapai usia matang hanya 65hari selepas ianya disuntik benih, dan masa yang diambil oleh cendawan untuk membesar sebelum ianya sesuai dituai pula adalah 3 ke 5 hari selepas penutup rehat dibuka. Walaubagaimanapun saya berpendapat keputusan ini mungkin berubah-ubah mengikut kawasan dan cuaca persekitaran.

Ikuti laporan eksperimen bagi 5 lagi beg cendawan yang padat di isi media hanya di e-cendawan.com



Laporan Perkembangan Maisilium Minggu ke-9

Selasa, 4hb September 2007 genaplah 2 bulan atau 60 hari bagi 10 beg cendawan eksperimen saya. 5 beg cendawan telah dipenuhi maisilium iaitu beg berlabel no.2, 5, 6, 7 dan 8. Manakala beg cendawan berlabel no. 1, 3, 4, 9 dan 10 pula, maisilium hanya memenuhi kira-kira 75% hingga 90% daripada luas permukaan beg cendawan.

Beg cendawan berlabel no. 1,3,4,9 & 10 dengan maisiliumnya


dalam 75% ke 90% sudah menguasai luas permukaan beg.


Maisilium sudah penuh pada beg

cendawan berlabel no. 2,5,6,7 & 8

Beg cendawan berlabel no. 6 dan 8 yang telah dicungkil keluar spora dan gandum pada mulut beg cendawan tempohari (21hb Ogos 2007) tidak mengeluarkan hasil. Ini bermakna pada usia 45 hari maisilium belum cukup matang dan tidak boleh mengeluarkan cendawan. Apa yang dapat diperhatikan hanyalah serabut putih muncul pada mulut beg cendawan tersebut.

Kelihatan serabut putih pada mulut beg cendawan,

semakin menebal dari hari ke hari.

Oleh itu saya telah mengambil keputusan menutup kembali mulut beg cendawan tersebut dengan “stopper” atau penutup rehat pada 29hb Ogos 2007 dan hanya akan dibuka kembali pada 9hb September 2007 iaitu pada usianya 65 hari. Semalam 4hb September 2007 saya telah mencungkil keluar spora dan gandum pada beg cendawan berlabel no. 2, 5 dan 7. Mulut beg cendawan ini ditutup semula dengan “stopper” sehingga usia maisilium mencecah 70 hari dan hanya akan dibuka pada 14hb September 2007.

Perkembangan beg cendawan berlabel no. 6 & 8

Ahad, 19hb Ogos 2007. Satu lagi beg cendawan saya iaitu beg berlabel no.6 telah dipenuhi dengan maisilium. Masa yang diambil oleh maisilium untuk memenuhi luas permukaan beg cendawan tersebut adalah selama 43 hari. Lewat 4 hari berbanding beg cendawan berlabel no. 8.

Beg cendawan bernombor 6 dan 8 dengan maisilium

yang sudah menguasai keseluruhan luas permukaan begcendawan



Semalam 21hb Ogos 2007, saya telah cungkil keluar spora dan gandum pada mulut/kepala dalam 2 beg cendawan tersebut. Ini bermakna cungkilan dilakukan pada hari ke-45 selepas hari suntikan benih. Pada kali ini saya ingin membuat eksperimen dimana, saya akan terus buka penutup bagi beg cendawan berlabel no. 8 dan bagi beg cendawan berlabel no.6 pula saya akan rehatkan dahulu dengan menutup mulut/kepala beg cendawan tersebut dengan seal cap (penutup botol sos cili) selama 7 hari. Beg cendawan berlabel no. 6 hanya akan dibuka pada usianya genap 50 hari iaitu pada 26hb Ogos 2007.




Beg cendawan selepas proses mencungkil spora & gandum.

Tapi harus diingat bahan yang digunakan untuk mencungkil

perlu dipanaskan dan di sterilkan dahulu untuk mengelakkan bakteria

atau kuman memasuki beg cendawan tersebut.


Selepas itu semburkan air (jangan terlalu banyak) ke

mulut/muncung beg cendawan tersebut. Tujuannya untuk

melembabkan media dan menggalakkan pertumbuhan cendawan.

Kepada peminat cendawan tiram terutamanya yang masih baru dalam industri ini, jangan lupa nantikan laporan perkembangan cendawan tiram eksperimen ini seterusnya hanya di e-cendawan.com. Nantikan adakah cendawan akan mula bercambah dan berapa lamakah masa yang diambil untuk cendawan mula kelihatan.

Lagi Tentang Perkembangan Maisilium.

Selasa, 15hb Ogos 2007 kira-kira jam 11:20 pm, 1 daripada 10 beg cendawan eksperimen saya telah putih keseluruhannya. Bermakna maisilium sudah menawan seluruh luas permukaan beg cendawan. Rekod menunjukkan masa yang diambil oleh maisilium untuk memenuhi luas permukaan beg cendawan yang berlabel no.8 ini ialah selama 39hari. Dari pemerhatian yang dilakukan, dalam tempoh 24 jam, purata perkembangan maisilium adalah sebanyak 0.5cm ke 0.55cm. Hanya untuk beg cendawan berlabel no.8 ini sajalah.


Gambar menunjukkan beg cendawan berlabel no.6 dan no.8.


Antara ciri-ciri beg cendawan berlabel no. 8 ini adalah seperti berikut:

  1. Berat beg cendawan = 780 gram
  2. Panjang beg cendawan = 21 cm
  3. Suhu bilik adalah dalam lingkungan 26 deg. celcius ke 30 deg. celcius.
  4. Kelembapan antara 80% ke 90%

Beg cendawan berlabel 6 akan mengikuti jejak langkah beg cendawan berlabel 8. Maisilium didapati telah memenuhi 99% daripada luas permukaan beg cendawan. Hanya tapak beg sahaja masih kelihatan habuk kayu (Seperti gambar dibawah). Bagi beg-beg cendawan lain perkembangan maisiliumnya agak perlahan terutama beg cendawan yang di isi padat dengan media seperti gambar dibawah.





Inilah beg cendawan berlabel no.6. Hanya tapak beg

cendawan sahaja maisilium belum dapat takluki.



Susunan beg cendawan diatas adalah beg cendawan

dengan media yang longgar, manakala susunan dibawah

adalah beg cendawan dengan media yang padat.

Seperti tulisan saya di blog ini pada 11hb Ogos 2007. Saya berkata akan buka penutup beg cendawan berlabel no.8 pada hari ke-45 iaitu pada hari Selasa bersamaan 22hb Ogos 2007. Kita sama-sama nantikan adakah cendawan sulung akan berputik?. Jangan ketinggalan laporan seterusnya di e-cendawan.com








Laporan Perkembangan Maisilium (Minggu ke-5).

Sabtu, 11hb August 2007 10 beg cendawan eksperimen telah berusia 5-minggu (36 hari). Maisilium kelihatan terus berkembang. Perkembangan maisilium direkodkan sebanyak 48% hingga 99% seperti apa yang anda dapat lihat pada gambar dibawah.

Antara 10 beg cendawan eksperimen yang dihasilkan, dapat diperhatikan beg cendawan berlabel no. 8 maisiliumnya telah berjaya menakluki hampir 99% luas permukaan beg cendawan tersebut. Seperti yang anda dapat lihat, hanya pada tapak/kaki beg cendawan sahaja maisilium belum dapat takluki.

Ada sesetengah pengusaha cendawan berkata, tempoh paling singkat untuk membolehkan penutup plastik dibuka adalah pada hari ke-45. Memandangkan beg cendawan bernombor 8 maisiliumnya sudah hampir menguasai keseluruhan luas permukaan beg cendawan tersebut. Maka saya akan cuba buka penutup plastik tersebut pada hari ke-45 nanti. Kita sama-sama lihat adakah cendawan akan tumbuh atau tidak selepas 45 hari benih disuntik? Jangan lupa nantikan jawapannya hanya di e-cendawan.com….

Lagi Laporan Perkembangan Maisilium

Hari sabtu lepas 4 Julai 2007 genap sebulan 10 sampel cendawan eksperimen saya. Hasil ukuran yang dibuat keatas sepuluh beg cendawan tersebut, perkembangan maisilium adalah sebanyak 41% ke 83%.


Beg cendawan berlabel 1 hingga 5


Beg cendawan berlabel 6 hingga 10.

Lihat beg nombor 8 tu...83% maisilium dah menguasainya.

Kesemua beg cendawan tersebut perlu menjalani proses eraman selama 30 ke 60 hari lagi sebelum ia mencapai tempoh matang. Apabila dah cukup matang barulah penutup beg cendawan tadi dibuka untuk membolehkan cendawan sulung tumbuh.

OK laporan selanjutnya akan menyusul.....TUNGGU......

Laporan Perkembangan Maisilium.

Hari ini 28hb Julai 2007 genaplah 3 minggu (21hari) usia 10 beg cendawan untuk kajian. Dalam pemerhatian yang lakukan, perkembangan maisilium tidak sekata. Ada yang sudah menguasai beg cendawan sebanyak 61% dan yang paling sedikit hanya dapat menguasai sebanyak 31% sahaja daripada panjang keseluruhan beg cendawan.


Perkembangan maisilium antara beg cendawan dengan

media yang padat & kurang padat


Jika diperhatikan dengan teliti beg cendawan yang mempunyai media tidak padat, maisilium dapat menguasai 48% ke 61% beg cendawan. Manakala beg cendawan yang mempunyai media yang padat, maisilium hanya dapat menguasai sebanyak 31% ke 39% sahaja daripada panjang keseluruhan beg cendawan tersebut (Lihat 2 gambar dibawah)




Beg cendawan dengan media yang padat



Beg cendawan dengan media yang tidak padat



Disini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa, media yang tidak padat didalam beg cendawan, perkembangan maisiliumnya agak cepat berbanding media yang agak padat dalam beg cendawan.

Kata orang yang berpengalaman dalam penanaman cendawan, beg cendawan yang di isi media dengan padat dapat menghasilkan cendawan yang berkualiti, dan juga tuaian dari beg cendawan tersebut dapat dilakukan berkali-kali berbanding beg cendawan yang mengandungi media yang tidak padat.

Betul ke kenyataan di atas? Kita sama-sama nantikan. Jangan ketinggalan untuk mengikuti perkembangan 10 sampel beg cendawan yang aku hasilkan ini. Ikuti laporan seterusnya di e-cendawan.com

Perkembangan Maisilium dalam 10 sampel beg cendawan.

Hari ini 21hb Julai 2007, cukup 2 minggu usia 10 bongkah/beg sampel cendawan yang saya hasilkan semasa kursus tempohhari. Perkembangan maisilium cukup baik setakat ini.

Rata-rata maisilium telah menguasai hampir 25% daripada keseluruhan bongkah atau beg cendawan tadi.

Kat sini saya paparkan beberapa gambar sampel bongkah cendawan untuk tatapan semua. InsyaAllah dari semasa ke semasa akan saya laporkan perkembangan maisilium keatas sampel bongkah cendawan tadi untuk dikongsi bersama para pelawat blog e-cendawan.com ini.

Ni la 10 sampel bongkah cendawan yang saya citer tu.


Perkembangan maisilium pada 17/7/2007. 15% maisilium menguasai bongkah cendawan.


Perkembangan maisilium selepas 2 minggu. 25% maisilium

menguasai bongkah cendawan.

17-07-2007 Genap 10 hari selepas kursus

Seperti biasa, setiap pagi sebelum pergi kerja saya akan melihat perkembangan maisilium 10 sampel bongkah cendawan yang dihasilkan semasa kursus di Atiqah Trading tempohhari.

Satu perkembangan yang baik….semua sampel menunjukkan maisilium telah mula membiak/merebak untuk memenuhi bongkah atau beg cendawan (ikut ukuran yang aku buat, purata 15% maisilium telah menguasai bongkah cendawan). Panjang satu bongkah 20cm, panjang purata maisilium dalam setiap bongkah 3cm. Jadi… 3 / 20 = 0.15 x 100% dapatlah 15%.

10 sampel bongkah cendawan ini akan aku gunakan untuk tujuan penyelidikan. Wah… dah jadi macam ahli biotek pulak la ek….

Jenis cendawan yang saya bakal usahakan ini ialah cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus Sajor Cajo (Pehh.. susah gak nak sebut). Cendawan jenis ini mempunyai permintaan yang tinggi dipasaran tempatan dan juga eksport. Jadi secara tidak langsung ia memberi peluang pendapatan lumayan kepada pengusaha cendawan.

Ni la dia Pleurotus Sajor Cajo