LAPORAN KURSUS CENDAWAN KE-2 (22/3/2008)

Salam bersua kembali pelawat web blog e-cendawan.com.

Sabtu 22hb Mac 2008, Ariela Enterprise sekali lagi telah berjaya menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan Kali-2. Peserta yang mendaftar untuk kursus tersebut adalah seramai 12 orang kesemuanya. 2 orang telah diberi ilmu penanaman cendawan ini lebih awal iaitu pada 15/3/2008 menjadikannya baki peserta seramai 10 orang sahaja. Tanpa di duga 7 dari 10 baki peserta telah menarik diri disaat-saat akhir. Jadi yang hadir pada kursus ke-2 ini hanyalah seramai 3 orang semuanya.

Peserta kali ini datangnya dari Perak iaitu En. Mohd. Nur Azlan dan juga pasangan suami isteri iaitu En. Rahim dan Pn. Siti Fatimah dari Pulau Pinang. Berikut adalah antara gambar yang sempat diambil untuk tatapan pelawat web blog e-cendawan.com.



Kepada yang sudah terlepas peluang menghadiri kursus ke-2 ini, Jangan khuatir Ariela Enterprise akan menganjurkan KURSUS INTENSIF PENANAMAN CENDAWAN pada Bulan April 2008 nanti iaitu pada 5hb April 2008 dan 19hb April 2008.


UNTUK PENDAFTARAN HUBUNGI URUS SETIA KURSUS

DI TALIAN 013-391 1265

(SILA MUAT TURUN BORANG KURSUS DI SEBELAH KIRI WEB BLOG INI)

LAPORAN AKHBAR BERITA HARIAN & UTUSAN MALAYSIA 21/3/2008

Bekas mekanik kini pengusaha cendawan
Sumber : Akhbar Berita Harian Bertarikh 21hb Mac 2008

Ahmad Bakri sambut seruan kerajaan tambah bilangan usahawan tani Bumiputera

MARAN: Kemampuan Bumiputera dalam sektor pertanian komersial bukan sesuatu yang baru. Bilangan mereka yang semakin bertambah membuktikan usaha gigih itu mampu menghasilkan pendapatan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.
Bagaimanapun, jumlah mereka yang terbabit dalam industri tanaman cendawan masih kurang menyebabkan seorang bekas mekanik, Ahmad Bakri Ishak, 30, berhasrat mendalami bidang itu secara lebih serius.
Ahmad Bakri berkata, sepanjang terbabit dalam sektor itu tiga tahun lalu, beliau menyedari bahawa pertanian memberi lebih keuntungan jika diusahakan secara lebih praktikal dan bersistematik.

Bersama isteri, Norsailah Mohd Alias, 27, beliau memulakan projek tanaman cendawan di belakang rumah ibunya, Asiah Abdullah, di Felda Bukit Tajau, Maran, selepas melihat dan mengkaji nilai komersial tanaman itu di pasaran tempatan.

Tanpa sebarang kursus dan latihan asas mengenai proses penanaman dan penghasilan cendawan, beliau membuat keputusan membina sebuah rumah cendawan sebagai permulaan dan membeli bahan mentah iaitu habuk kayu getah, dedak ayam halus, kapur pertanian dan mesin pengisar habuk dengan modal permulaan RM4,000.
"Lawatan ke beberapa ladang cendawan di Triang dan Balok berjaya membuka minda saya untuk memulakan perniagaan ini selepas mendapat nasihat pengusaha itu sendiri selain dorongan keluarga."Walaupun pada peringkat awal projek, saya hanya memperoleh pendapatan RM400 hingga RM600 sebulan, ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskannya kerana yakin `pertanian adalah perniagaan," katanya.
Ahmad Bakri berjaya meningkatkan pendapatannya kepada RM3,000 sebulan dan mula membuat simpanan untuk membina dua lagi rumah cendawan bagi menampung permintaan pasaran.Kini, syarikatnya, ABS Bakri Enterprise adalah pengeluar cendawan tiram kelabu yang aktif membekalkan cendawan segar dan bungkah benih cendawan kepada penduduk setempat, pembekal dari luar daerah dan sekitar Maran terutama peniaga kedai makan dan restoran.

Beliau berkata, walaupun permintaan semakin meningkat, pihaknya tidak dapat memenuhinya berikutan kekurangan bahan mentah dan pekerja."Ada ketikanya, bekalan benih cendawan kehabisan dan saya terpaksa pergi ke ladang cendawan di Triang untuk mendapatnya dalam kuantiti yang besar, selain membeli habuk kayu getah sehingga 10 tan pada satu-satu masa."Benih cendawan dibeli RM5 bagi setiap botol dan boleh diisi dalam 30 bungkah, manakala habuk kayu yang dibeli berharga RM400 bagi setiap 10 tan boleh menghasilkan antara 20,000 hingga 25,000 bungkah," katanya.

Ahmad Bakri memperuntukkan sebahagian besar masanya meneliti bungkah cendawan bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan tidak dicemari bakteria atau kuman, selain ancaman tikus.Beliau berkata, penjagaan rapi dan penetapan masa penting bagi memastikan kadar pertumbuhannya selari dengan tempoh ditetapkan iaitu antara 40 dan 50 hari bagi kutipan hasil setiap satu pusingan.

"Saya menggunakan modal sendiri menjalankan kegiatan ini kerana tidak mahu dibebani hutang seandainya projek ini gagal."Sekarang, saya memiliki sebuah rumah cendawan berukuran 14 x 16 kaki yang boleh memuatkan sehingga 5,000 bungkah cendawan dalam satu masa, sebuah bilik penyediaan bungkah cendawan dan sebuah bekas untuk mengewap bungkah," katanya.

Ahmad Bakri berkata, beliau mampu menjual antara 4,000 hingga 5,000 bungkah cendawan sebulan dan permintaan terus meningkat berikutan orang ramai mula didedahkan dengan kebaikan dan khasiatnya."Saya juga membekalkan cendawan segar pada harga RM10 sekilogram, manakala RM1 dan RM1.20 bagi setiap bungkah cendawan," katanya.

Menurutnya, proses pembiakan cendawan tiram kelabu tidak sukar kerana ia memerlukan suhu lembap sekitar 27 darjah celsius dan 90 peratus kegelapan bilik yang sentiasa bertutup untuk membiak cepat dan sihat. Selain itu, lantai rumah cendawan perlu disiram antara satu dan dua kali sehari bagi melembapkan suhu dalam rumah cendawan berkenaan."Jika terdedah pada kepanasan matahari, cendawan akan menjadi kecut menyebabkan kualitinya merosot. "Selain itu, bungkah cendawan juga akan rosak jika terkena air dan alah kepada bauan seperti minyak wangi dan asap rokok kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhannya," katanya yang turut mendapatkan maklumat mengenai tanaman cendawan menerusi internet.

Ahmad Bakri berkata, berdasarkan potensi pasaran cendawan, pihaknya sedia membantu mana-mana usahawan yang mahu terbabit dalam sektor itu walaupun diusahakan secara kecil-kecilan. "Kita perlu menyahut seruan kerajaan supaya terbabit dalam sektor pertanian kerana ia mampu memberi pulangan lumayan.Berdasarkan pengalaman, saya sedia menyalurkan ilmu kepada sesiapa yang berminat, sekali gus pembabitan mereka kelak dapat menampung permintaan cendawan yang semakin meningkat," katanya.


Ibu Tiga Anak Pengusaha Cendawan

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
Peluang Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh majikan tempatnya bekerja tidak dibiarkan begitu saja.

Melihat anak-anak yang semakin meningkat remaja dan memerlukan lebih perhatian menyebabkan Zainon Ariffin, 46, tidak berfikir dua kali.Selain menghabiskan masa memantau anak-anak di rumah, bekas penolong pengurus perkhidmatan pelanggan ini mula mengintai peluang perniagaan yang ada dengan menceburi projek menanam cendawan.

Walaupun menjalankan kerja-kerja menanam cendawan, beliau masih boleh menghantar dan menjemput anak ke sekolah serta melakukan kerja rumah.Berasal dari keluarga peniaga, Zainon mula menjinak-jinakan diri dengan penanam cendawan sebaik menerima tawaran VSS empat tahun lalu.Tidak seperti orang lain, Zainon telah mendapatkan kontrak membekalkan cendawan daripada CIMA Agro sebelum memulakan penanaman.

Memulakan penanaman cendawan tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kerajaan, Zainon menggunakan duit simpanan semasa bekerja.“Selepas mendapat kontrak barulah saya mula mempelajari bagaimana menanam cendawan daripada ‘tok guru’ saya Normah Ibrahim dari Jabatan Pertanian.

“Selain itu saya juga mempelajari kaedah menanam cendawan daripada CIMA Agro, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah program siswazah menganggur dan penanam cendawan lain,”katanya semasa ditemui di ladangnya di Kampung Sekolah, Batang Kali, Selangor.

Menanam cendawan kata Zainon, tidak boleh dikatakan mudah kerana ia memerlukan kawasan yang bersih, sejuk dan jauh daripada pencemaran.“Bagaimanapun tanaman ini diprogramkan supaya kita boleh mendapat hasil pada masa yang ditetapkan,” katanya yang sehingga kini masih tidak memohon sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kewangan.

Mempunyai dua orang pekerja sambilan dan dibantu oleh ahli keluarga, Zainon memulakan tugas seawal lapan pagi.Tugas mengisi media (campuran habuk kayu, dedak dan sebagainya untuk cendawan membiak) ke dalam polibeg dilakukan oleh pekerja sambilan yang mahir dan dapat mengisi media dalam 1,000 beg sehari.“Sebelum itu saya, suami dan anak sulung akan menyediakan bahan-bahan untuk campuran media berkenaan,” katanya.

Selepas polibeg diisi dengan media, ia akan dikukus selama lapan jam bagi membunuh semua organisma mikro yang boleh menyebabkan pencemaran.Proses mengukus polibeg banyak dibantu oleh bapanya yang amat menggalakkan Zainon menanam cendawan sejak awal lagi.Polibeg berkenaan kemudian disejukkan sebelum disuntik dengan benih cendawan yang dibeli daripada pembekal.“Masalah timbul apabila saya tidak mendapat benih yang sesuai bagi menghasilkan cendawan dengan saiz yang diperlukan di pasaran.

“Biasanya tugas menyuntik benih cendawan saya serahkan kepada anak bongsu saya yang sekarang ini amat mahir melakukannya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.Zainon berkata, setiap seorang anaknya walaupun masih bersekolah menengah telah diajar berjinak-jinak dengan industri cendawan.“Ini salah satu cara kami dapat melakukan aktiviti bersama-sama sambil mengeratkan hubungan keluarga kerana menanam cendawan bukanlah satu tugas yang berat,” katanya.

Pada masa yang sama Zainon yang juga banyak menerima khidmat nasihat dan bimbingan serta merupakan projek contoh Perintis Agrotech Centre yang sering memberikan kursus berkaitan pertanian.Buat masa ini Zainon mempunyai tiga buah rumah cendawan yang boleh memuatkan sehingga 12,000 polibeg setiap satu.

Tidak mahu hanya bergantung kepada pembekal benih cendawan, Zainon bercadang menghasilkan benih sendiri.Minatnya terhadap cendawan membawanya ke sehingga ke selatan Thailand untuk melihat sendiri ladang cendawan dan menimba ilmu di sana.“Saya akan berusaha mendalami ilmu penanaman cendawan bagi memperbaiki kaedah yang ada sekarang,” katanya.Beliau kini dalam usaha mendirikan makmalnya sendiri bagi mengeluarkan benih cendawan selewatnya pertengahan tahun ini.

Selain itu, Zainon juga sedang menyediakan tempat latihan bagi mereka yang berminat dengan penanaman cendawan.“Penanaman cendawan bukanlah sesuatu yang mudah dan mereka yang berminat perlu mempunyai pengetahuan mengenainya,” katanya.Berfikiran jauh, Zainon telah memikirkan mengenai lambakan cendawan di pasaran, beliau telah mula mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.Bekerjasama dengan beberapa orang anak muda yang juga saudaranya, Zainon telah memasarkan produk hiliran cendawan secara kecil-kecilan.

“Buat masa ini kami telah menghasilkan begedil, popia inti cendawan, serunding, pau berinti cendawan dan tempura yang mendapat pasaran yang menggalakkan di sekitar bandar Kelang, Selangor.“Apabila industri hiliran mendapat sambutan yang menggalakkan saya bercadang menambah tiga lagi rumah cendawan tahun ini,” katanya yang mendapat geran Groombig dari SIRIM bagi pelabelan dan pembungkusan.Nota: Pn Zainon juga akan mengadakan Kursus Menghasilkan Produk-Produk Berasaskan Cendawan pada 22hn-03-2008 di Bukit Raja, Klang