LAPORAN KURSUS CENDAWAN KE-2 (22/3/2008)

Salam bersua kembali pelawat web blog e-cendawan.com.

Sabtu 22hb Mac 2008, Ariela Enterprise sekali lagi telah berjaya menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan Kali-2. Peserta yang mendaftar untuk kursus tersebut adalah seramai 12 orang kesemuanya. 2 orang telah diberi ilmu penanaman cendawan ini lebih awal iaitu pada 15/3/2008 menjadikannya baki peserta seramai 10 orang sahaja. Tanpa di duga 7 dari 10 baki peserta telah menarik diri disaat-saat akhir. Jadi yang hadir pada kursus ke-2 ini hanyalah seramai 3 orang semuanya.

Peserta kali ini datangnya dari Perak iaitu En. Mohd. Nur Azlan dan juga pasangan suami isteri iaitu En. Rahim dan Pn. Siti Fatimah dari Pulau Pinang. Berikut adalah antara gambar yang sempat diambil untuk tatapan pelawat web blog e-cendawan.com.



Kepada yang sudah terlepas peluang menghadiri kursus ke-2 ini, Jangan khuatir Ariela Enterprise akan menganjurkan KURSUS INTENSIF PENANAMAN CENDAWAN pada Bulan April 2008 nanti iaitu pada 5hb April 2008 dan 19hb April 2008.


UNTUK PENDAFTARAN HUBUNGI URUS SETIA KURSUS

DI TALIAN 013-391 1265

(SILA MUAT TURUN BORANG KURSUS DI SEBELAH KIRI WEB BLOG INI)

LAPORAN AKHBAR BERITA HARIAN & UTUSAN MALAYSIA 21/3/2008

Bekas mekanik kini pengusaha cendawan
Sumber : Akhbar Berita Harian Bertarikh 21hb Mac 2008

Ahmad Bakri sambut seruan kerajaan tambah bilangan usahawan tani Bumiputera

MARAN: Kemampuan Bumiputera dalam sektor pertanian komersial bukan sesuatu yang baru. Bilangan mereka yang semakin bertambah membuktikan usaha gigih itu mampu menghasilkan pendapatan lumayan jika dilakukan bersungguh-sungguh.
Bagaimanapun, jumlah mereka yang terbabit dalam industri tanaman cendawan masih kurang menyebabkan seorang bekas mekanik, Ahmad Bakri Ishak, 30, berhasrat mendalami bidang itu secara lebih serius.
Ahmad Bakri berkata, sepanjang terbabit dalam sektor itu tiga tahun lalu, beliau menyedari bahawa pertanian memberi lebih keuntungan jika diusahakan secara lebih praktikal dan bersistematik.

Bersama isteri, Norsailah Mohd Alias, 27, beliau memulakan projek tanaman cendawan di belakang rumah ibunya, Asiah Abdullah, di Felda Bukit Tajau, Maran, selepas melihat dan mengkaji nilai komersial tanaman itu di pasaran tempatan.

Tanpa sebarang kursus dan latihan asas mengenai proses penanaman dan penghasilan cendawan, beliau membuat keputusan membina sebuah rumah cendawan sebagai permulaan dan membeli bahan mentah iaitu habuk kayu getah, dedak ayam halus, kapur pertanian dan mesin pengisar habuk dengan modal permulaan RM4,000.
"Lawatan ke beberapa ladang cendawan di Triang dan Balok berjaya membuka minda saya untuk memulakan perniagaan ini selepas mendapat nasihat pengusaha itu sendiri selain dorongan keluarga."Walaupun pada peringkat awal projek, saya hanya memperoleh pendapatan RM400 hingga RM600 sebulan, ia tidak mematahkan semangat untuk meneruskannya kerana yakin `pertanian adalah perniagaan," katanya.
Ahmad Bakri berjaya meningkatkan pendapatannya kepada RM3,000 sebulan dan mula membuat simpanan untuk membina dua lagi rumah cendawan bagi menampung permintaan pasaran.Kini, syarikatnya, ABS Bakri Enterprise adalah pengeluar cendawan tiram kelabu yang aktif membekalkan cendawan segar dan bungkah benih cendawan kepada penduduk setempat, pembekal dari luar daerah dan sekitar Maran terutama peniaga kedai makan dan restoran.

Beliau berkata, walaupun permintaan semakin meningkat, pihaknya tidak dapat memenuhinya berikutan kekurangan bahan mentah dan pekerja."Ada ketikanya, bekalan benih cendawan kehabisan dan saya terpaksa pergi ke ladang cendawan di Triang untuk mendapatnya dalam kuantiti yang besar, selain membeli habuk kayu getah sehingga 10 tan pada satu-satu masa."Benih cendawan dibeli RM5 bagi setiap botol dan boleh diisi dalam 30 bungkah, manakala habuk kayu yang dibeli berharga RM400 bagi setiap 10 tan boleh menghasilkan antara 20,000 hingga 25,000 bungkah," katanya.

Ahmad Bakri memperuntukkan sebahagian besar masanya meneliti bungkah cendawan bagi memastikan ia dalam keadaan baik dan tidak dicemari bakteria atau kuman, selain ancaman tikus.Beliau berkata, penjagaan rapi dan penetapan masa penting bagi memastikan kadar pertumbuhannya selari dengan tempoh ditetapkan iaitu antara 40 dan 50 hari bagi kutipan hasil setiap satu pusingan.

"Saya menggunakan modal sendiri menjalankan kegiatan ini kerana tidak mahu dibebani hutang seandainya projek ini gagal."Sekarang, saya memiliki sebuah rumah cendawan berukuran 14 x 16 kaki yang boleh memuatkan sehingga 5,000 bungkah cendawan dalam satu masa, sebuah bilik penyediaan bungkah cendawan dan sebuah bekas untuk mengewap bungkah," katanya.

Ahmad Bakri berkata, beliau mampu menjual antara 4,000 hingga 5,000 bungkah cendawan sebulan dan permintaan terus meningkat berikutan orang ramai mula didedahkan dengan kebaikan dan khasiatnya."Saya juga membekalkan cendawan segar pada harga RM10 sekilogram, manakala RM1 dan RM1.20 bagi setiap bungkah cendawan," katanya.

Menurutnya, proses pembiakan cendawan tiram kelabu tidak sukar kerana ia memerlukan suhu lembap sekitar 27 darjah celsius dan 90 peratus kegelapan bilik yang sentiasa bertutup untuk membiak cepat dan sihat. Selain itu, lantai rumah cendawan perlu disiram antara satu dan dua kali sehari bagi melembapkan suhu dalam rumah cendawan berkenaan."Jika terdedah pada kepanasan matahari, cendawan akan menjadi kecut menyebabkan kualitinya merosot. "Selain itu, bungkah cendawan juga akan rosak jika terkena air dan alah kepada bauan seperti minyak wangi dan asap rokok kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhannya," katanya yang turut mendapatkan maklumat mengenai tanaman cendawan menerusi internet.

Ahmad Bakri berkata, berdasarkan potensi pasaran cendawan, pihaknya sedia membantu mana-mana usahawan yang mahu terbabit dalam sektor itu walaupun diusahakan secara kecil-kecilan. "Kita perlu menyahut seruan kerajaan supaya terbabit dalam sektor pertanian kerana ia mampu memberi pulangan lumayan.Berdasarkan pengalaman, saya sedia menyalurkan ilmu kepada sesiapa yang berminat, sekali gus pembabitan mereka kelak dapat menampung permintaan cendawan yang semakin meningkat," katanya.


Ibu Tiga Anak Pengusaha Cendawan

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
Peluang Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang ditawarkan oleh majikan tempatnya bekerja tidak dibiarkan begitu saja.

Melihat anak-anak yang semakin meningkat remaja dan memerlukan lebih perhatian menyebabkan Zainon Ariffin, 46, tidak berfikir dua kali.Selain menghabiskan masa memantau anak-anak di rumah, bekas penolong pengurus perkhidmatan pelanggan ini mula mengintai peluang perniagaan yang ada dengan menceburi projek menanam cendawan.

Walaupun menjalankan kerja-kerja menanam cendawan, beliau masih boleh menghantar dan menjemput anak ke sekolah serta melakukan kerja rumah.Berasal dari keluarga peniaga, Zainon mula menjinak-jinakan diri dengan penanam cendawan sebaik menerima tawaran VSS empat tahun lalu.Tidak seperti orang lain, Zainon telah mendapatkan kontrak membekalkan cendawan daripada CIMA Agro sebelum memulakan penanaman.

Memulakan penanaman cendawan tanpa sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kerajaan, Zainon menggunakan duit simpanan semasa bekerja.“Selepas mendapat kontrak barulah saya mula mempelajari bagaimana menanam cendawan daripada ‘tok guru’ saya Normah Ibrahim dari Jabatan Pertanian.

“Selain itu saya juga mempelajari kaedah menanam cendawan daripada CIMA Agro, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah program siswazah menganggur dan penanam cendawan lain,”katanya semasa ditemui di ladangnya di Kampung Sekolah, Batang Kali, Selangor.

Menanam cendawan kata Zainon, tidak boleh dikatakan mudah kerana ia memerlukan kawasan yang bersih, sejuk dan jauh daripada pencemaran.“Bagaimanapun tanaman ini diprogramkan supaya kita boleh mendapat hasil pada masa yang ditetapkan,” katanya yang sehingga kini masih tidak memohon sebarang pinjaman daripada mana-mana agensi kewangan.

Mempunyai dua orang pekerja sambilan dan dibantu oleh ahli keluarga, Zainon memulakan tugas seawal lapan pagi.Tugas mengisi media (campuran habuk kayu, dedak dan sebagainya untuk cendawan membiak) ke dalam polibeg dilakukan oleh pekerja sambilan yang mahir dan dapat mengisi media dalam 1,000 beg sehari.“Sebelum itu saya, suami dan anak sulung akan menyediakan bahan-bahan untuk campuran media berkenaan,” katanya.

Selepas polibeg diisi dengan media, ia akan dikukus selama lapan jam bagi membunuh semua organisma mikro yang boleh menyebabkan pencemaran.Proses mengukus polibeg banyak dibantu oleh bapanya yang amat menggalakkan Zainon menanam cendawan sejak awal lagi.Polibeg berkenaan kemudian disejukkan sebelum disuntik dengan benih cendawan yang dibeli daripada pembekal.“Masalah timbul apabila saya tidak mendapat benih yang sesuai bagi menghasilkan cendawan dengan saiz yang diperlukan di pasaran.

“Biasanya tugas menyuntik benih cendawan saya serahkan kepada anak bongsu saya yang sekarang ini amat mahir melakukannya,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.Zainon berkata, setiap seorang anaknya walaupun masih bersekolah menengah telah diajar berjinak-jinak dengan industri cendawan.“Ini salah satu cara kami dapat melakukan aktiviti bersama-sama sambil mengeratkan hubungan keluarga kerana menanam cendawan bukanlah satu tugas yang berat,” katanya.

Pada masa yang sama Zainon yang juga banyak menerima khidmat nasihat dan bimbingan serta merupakan projek contoh Perintis Agrotech Centre yang sering memberikan kursus berkaitan pertanian.Buat masa ini Zainon mempunyai tiga buah rumah cendawan yang boleh memuatkan sehingga 12,000 polibeg setiap satu.

Tidak mahu hanya bergantung kepada pembekal benih cendawan, Zainon bercadang menghasilkan benih sendiri.Minatnya terhadap cendawan membawanya ke sehingga ke selatan Thailand untuk melihat sendiri ladang cendawan dan menimba ilmu di sana.“Saya akan berusaha mendalami ilmu penanaman cendawan bagi memperbaiki kaedah yang ada sekarang,” katanya.Beliau kini dalam usaha mendirikan makmalnya sendiri bagi mengeluarkan benih cendawan selewatnya pertengahan tahun ini.

Selain itu, Zainon juga sedang menyediakan tempat latihan bagi mereka yang berminat dengan penanaman cendawan.“Penanaman cendawan bukanlah sesuatu yang mudah dan mereka yang berminat perlu mempunyai pengetahuan mengenainya,” katanya.Berfikiran jauh, Zainon telah memikirkan mengenai lambakan cendawan di pasaran, beliau telah mula mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.Bekerjasama dengan beberapa orang anak muda yang juga saudaranya, Zainon telah memasarkan produk hiliran cendawan secara kecil-kecilan.

“Buat masa ini kami telah menghasilkan begedil, popia inti cendawan, serunding, pau berinti cendawan dan tempura yang mendapat pasaran yang menggalakkan di sekitar bandar Kelang, Selangor.“Apabila industri hiliran mendapat sambutan yang menggalakkan saya bercadang menambah tiga lagi rumah cendawan tahun ini,” katanya yang mendapat geran Groombig dari SIRIM bagi pelabelan dan pembungkusan.Nota: Pn Zainon juga akan mengadakan Kursus Menghasilkan Produk-Produk Berasaskan Cendawan pada 22hn-03-2008 di Bukit Raja, Klang

LAPORAN KURSUS CENDAWAN 15/3/2008

Alhamdulillah kursus tanaman cendawan kali ke-2 (Siri 1) selamat dijalankan dengan jayanya. Sebenarnya kursus pada 15/3/2008 tidak tersenarai didalam program kursus tanaman cendawan anjuran Ariela Enterprise (e-cendawan.com).

Kursus ini dijalankan atas permintaan 2 orang peserta yang telah mendaftar bagi Kursus Intensif Penanaman Cendawan Kali Ke-2 yang bakal diadakan pada 22hb Mac 2008 nanti. En. Azhar dari Baling, Kedah dan Cik Mazlina dari kati, Kuala Kangsar memaklumkan tidak dapat hadir pada 22/3/2008 nanti atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu pihak urussetia kursus memutuskan untuk memberikan ilmu penanaman cendawan ini kepada 2 peserta tersebut pada 15/3/2008. Berikut adalah gambar yang sempat diambil untuk dikongsi bersama.

Pada pengunjung web blog e-cendawan.com, kursus Intensif Penanaman Cendawan pada 22hb Mac 2008 ini masih dibuka. Sila muatturun borang kursus di sebelah kiri web blog ini dan kembalikan kepada pihak urus setia sebelum 20hb Mac 2008.

LAGI BERITA KEJAYAAN USAHAWAN CENDAWAN

Sumber: Utusan Malaysia Online 1hb Mac 2008

Azhar tinggal kerjaya korporat tanam cendawan.

KUALA SELANGOR 29 Feb. – Seorang akauntan sanggup meninggalkan kerjaya dengan sebuah syarikat korporat terkenal, semata-mata mahu menceburi industri tanaman cendawan dan usahanya itu ternyata berbaloi.


Walaupun tidak sampai setahun memulakan bidang itu, Azhar Abdul Rahman, 47, kini mampu memperoleh pulangan lumayan lebih RM300 sehari hasil tuaian cendawan tiram kelabu yang diusahakannya.

Mengusahakan tanaman di rumah cendawan dengan hanya keluasan 30.5 meter x 12 meter yang mengandungi 30,000 kompos, Azhar mampu mengeluarkan antara 40 kilogram hingga 50 kilogram sehari.

Berkat pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan stabil, hasil cendawannya itu mudah dipasarkan, malah ia masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Berbaloi saya berhenti kerja, selain dapat merasai bagaimana usaha gigih untuk bergelar usahawan dan tidak lagi sekadar makan gaji, saya juga kini mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, saya menggalakkan golongan belia yang berminat, menceburi bidang ini yang ternyata boleh memberikan pulangan lumayan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini hari ini.

Sehingga kini, dia hanya membekalkan cendawan kepada lima pembeli tetap yang kemudiannya menjual secara terus kepada orang ramai.

“Bayangkan jika saya membekalkan kepada restoran-restoran besar atau pasar raya besar, sudah tentu memerlukan bekalan yang lebih banyak.

“Sehingga kini, bekalan cendawan yang dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha seperti saya masih belum mampu memenuhi permintaan pasaran. Oleh itu, peluang dalam bidang ini sangat cerah sekali,” ujarnya.

Azhar memberitahu minatnya menceburi bidang itu timbul bagi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat menyertai sektor pertanian bagi menampung keperluan makanan negara.
Dia memilih tanaman cendawan kerana minat yang mendalam selain tidak memerlukan kawasan luas seperti ternakan kambing dan lembu.

Sebaliknya, dengan hanya kawasan yang kecil, rumah cendawan sudah boleh dibina.
Azhar memulakan usahanya itu dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM35,000 hasil simpanan sendiri tanpa perlu membuat pinjaman.
Menurutnya, bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, penjagaan kebersihan rumah cendawan perlu diberi perhatian.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tidak ada seekor pun lalat berterbangan di situ walaupun kawasan persekitarannya lembap.

Perhatian yang diberikan terhadap aspek kebersihan juga membolehkan Azhar mampu mengutip hasil sebanyak 12 kali sejak memulakan tanaman cendawan itu Mac tahun lepas.
“Sedangkan kalau menanam cendawan dengan teknik-teknik yang betul, pengusaha boleh mengutip hasil sehingga lapan kali setahun tetapi saya berjaya buktikan dapat mengutip lebih daripada itu,” katanya yang turut menyediakan khidmat kursus kepada mereka yang berminat menceburi bidang itu.

KURSUS AKAN DATANG

Salam sejahtera pengunjung web blog e-cendawan.com


Perusahaan tanaman cendawan kini mula mendapat perhatian dan menarik minat ramai rakyat Malaysia untuk menceburinya. Untuk memenuhi impian bergelar usahawan cendawan dan atas permintaan ramai..satu lagi Kursus Intensif Penanaman Cendawan Tiram anjuran Ariela Enterprise (e-Cendawan.com) akan diadakan di Dewan Orang Ramai Sauk dan latihan praktikalnya di Pusat Latihan & Bilik Pameran Ariela Mushroom pada 22hb Mac 2008 nanti.

Pendaftaran kini di buka.Hubungi Urus Setia Kursus di talian 013-391 1265 (Azhari) atau 013-4203614 (ila) untuk tempahan tempat. Sila muat turun borang kursus di bahagian kiri web blog atau SMS kepada kami e-mail address/No. Fax anda bagi membolehkan kami menghantar borang kursus. Tempat terhad kepada 20 orang peserta sahaja. DAFTAR SEKARANG sebelum terlambat…..
Selain itu terdapat juga kursus tanaman cendawan dianjurkan oleh pengusaha cendawan seluruh Malaysia. Antaranya ialah Tunas Alam Agrotech (TAA) Chini Agro dan Impian Mushroom. Maklumat kursus penganjur yang disebut diatas adalah seperti berikut;

Untuk maklumat kursus cendawan yang lain, sila lihat maklumat Taklimat/Kursus Cendawan dibahagian kiri web blog ini.

CORETAN KURSUS PERTAMA (16 FEBUARI 2008)

Salam Sejahtera buat Pengunjung web blog e-cendawan.com

Alhamdulillah Kursus Intensif Penanaman Cendawan Tiram Kelabu Kali Pertama anjuran Ariela Enterprise pada 16hb Febuari 2008 berjalan dengan lancar. 8 orang peserta telah menghadiri dan menamatkan kursus buat julung kali ini dengan jayanya. Peserta kursus kali pertama ini datangnya dari negeri Perak dan Kelantan.


Rata-rata peserta sulung kursus anjuran Ariela Enterprise ini mempunyai minat yang amat mendalam untuk menceburkan diri dalam industri penanaman cendawan tiram kelabu. Berikut adalah sedikit gambar-gambar sepanjang kursus untuk tatapan semua.


Terima kasih yang tidak terhingga dari krew e-cendawan.com dan pihak penganjur ucapkan pada peserta-peserta kursus kerana menaruh kepercayaan untuk menyertai kursus anjuran Ariela Enterprise. Semoga segala ilmu yang telah dipelajari dapat dimanfaatkan dan seterusnya dipraktikkan.

Terima kasih juga buat rakan-rakan pengusaha cendawan terutamanya buat rakan-rakan blogger antaranya penulis web blog Chini Agro, Usahawantani Projek Cendawan, Fatisha Agrofarm, Impian Mushroon, Cendawan Global,Cendawan Timur & Tunas Alam Agrotech yang banyak memberi sokongan dan membantu mengiklan kursus sulung kami. Jasa kalian tetap dikenang.

E-Book Panduan Tanaman Cendawan Komersil


ANDA BERMINAT UNTUK MENJALANKAN PERUSAHAAN TANAMAN CENDAWAN?
TIDAK TAHU BAGAIMANA UNTUK BERMULA?

TIDAK BERKESEMPATAN MENGHADIRI KURSUS TANAMAN CENDAWAN?

KINI ARIELA ENTERPRISE AKAN MEMBANTU ANDA

MEREALISASIKAN IMPIAN ANDA MENJADI

USAHAWAN ASAS TANI
DAPATKAN E-BOOK KAMI SEKARANG

HANYA RM 20
(Ikuti cara pembayaran seperti yang tertera di bahagian kiri web blog ini)



KURSUS TANAMAN CENDAWAN BULAN FEBUARI 2008

Salam Sejahtera buat pelawat web blog e-cendawan.com. Berita baik untuk anda yang berminat untuk menceburi bidang pertanian dalam penanaman cendawan tiram. Berikut adalah maklumat kursus anjuran pengusaha cendawan se-Malaysia yang boleh anda hadiri sepanjang bulan Febuari 2008. Jangan lepaskan peluang, daftar segera kerana tempat adalah terhad. Dapatkan ilmu berkaitan penanaman cendawan dari pengusaha cendawan yang berpengalaman dalam industri ini.

Untuk pendaftaran sila hubungi penganjur-penganjur kursus seperti berikut:-



Untuk maklumat kursus tanaman cendawan anjuran pengusaha-pengusaha cendawan yang lain, sila lihat dibahagian kiri web blog ini di ruangan TAKLIMAT/KURSUS CENDAWAN.