PRODUK NILAI TAMBAH CENDAWAN ATASI LAMBAKAN

Salam Sejahtera....
ARIELA ENTERPRISE & Krew e-Cendawan.com dengan Kerjasama GENTING PERMAI RESOURCES sekali lagi akan menganjurkan Bengkel Citarasa Cendawan Kali Ke-2 pada Bulan November 2008 nanti. Jangan lepaskan peluang untuk mempelajari cara-cara penyediaan atau penghasilan produk sejuk beku berasaskan cendawan tiram. Daftar online sekarang kerana tempat adalah terhad untuk 100 orang peserta terawal sahaja.
"BERSAMA CEBURI INDUSTRI PRODUK HILIRAN CENDAWAN YANG MENJANJIKAN PULANGAN LUMAYAN"


Petikan Akhbar Utusan Malaysia 29 Ogos 2008
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


Sinona Mat Shaari menunjukkan produk hiliran cendawan yang dihasilkan sendiri.
Industri perusahaan cendawan yang berkembang bak cendawan selepas hujan lambat laun akan menyebabkan lambakan bahan mentah jika tiada usaha dijalankan.
Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi memberikan nilai tambah kepada produk cendawan yang dipasarkan.

Misalnya pengusaha harus mencari pelbagai alternatif bagi menghasilkan produk hiliran cendawan seperti yang dijalankan oleh usahawan wanita Sinona Mat Shaari.
Mengeluarkan empat jenis produk berasaskan cendawan, Sinona menghasilkannya menggunakan formula resipinya sendiri.

Buat masa ini, usahawan wanita ini mengeluarkan cendawan segar, cendawan tempura, serunding dan tepung goreng cendawan.

Sinona menceritakan kisahnya bermula apabila saudaranya, Zainon Ariffin, seorang pengusaha yang mengeluarkan cendawan dalam skala yang besar bimbang dengan masalah lambakan.
“Cendawan tidak tahan jika disimpan lama dan perlu digunakan segar sama ada dibuat sup atau digoreng.

“Masalah timbul apabila produk cendawan yang dihasilkan tidak dapat dijual,” katanya semasa ditemui selepas Seminar Perladangan Kontrak anjuran AgroHub di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Senario berkenaan pasti saja merugikan pengusaha yang bersusah payah mengusahakan penanaman cendawan.

Industri hiliran cendawan, tambah Sinona bukan saja dapat menambah nilai produk yang dipasarkan tetapi mengelakkan lambakan.
“Setakat ini, sambutan pengguna amat menggalakkan terutama dalam cendawan tempura dan serunding cendawan.

“Jika sambutan terus menggalakkan, saya perlu mendapatkan bekalan yang banyak secara berterusan daripada pengusaha,” katanya yang menjalankan operasinya di Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor.
Beliau juga berminat memberikan tunjuk ajar kepada pengusaha industri hiliran cendawan yang berminat.

Buat masa ini, Sinoni juga sedang menghasilkan formula sendiri bagi mempelbagaikan produk seperti pau, pai dan roti yang menggunakan inti cendawan.
“Saya juga terfikir untuk menghasilkan kuih talam cendawan, keropok kering dan basah daripada cendawan,” katanya.

Bagaimanapun bagi menghasilkan semua bahan terutama serunding mengambil masa yang lama memandangkan kandungan air cendawan yang tinggi.
Justeru Sinona banyak menjalinkan kerjasama dengan ZullDesign bagi bantuan mekanisasi memudahkan penyediaan.

Sinona juga sedang menulis buku resipi berasaskan cendawan bagi pembaca yang berminat.
Buat masa ini usahawan wanita ini terlibat sebagai pengajar di Puspanita dan bakal pengusaha terutama dalam industri hiliran cendawan.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi Sinona di talian 012-3008918.
TEMUI PUAN SINONA DALAM BENGKEL CITARASA CENDAWAN YANG BAKAL DIADAKAN PADA BULAN NOVEMBER 2008 NANTI. SERTAI BENGKEL KAMI DENGAN MENDAFTAR SECARA ONLINE DI BAHAGIAN KIRI WEB BLOG INI. JANGAN LEPASKAN PELUANG.....

LAPORAN KURSUS KALI KE-8

Salam Sejahtera Pengunjung web blog e-cendawan.com

27hb Julai 2008 yang lepas, Ariela Enterprise & Krew e-Cendawan.com sekali lagi telah menjayakan sesi kursus intensif penanaman cendawan buat kali ke-8. Jika pada kursus kali ke-7 yang lalu hanya menerima kehadiran seorang sahaja peserta kursus, tetapi buat kali ini seramai 15 orang peserta telah menyertai kursus buat kali ke-8 ini. Rata-rata peserta datangnya dari 3 negeri utara tanah air iaitu Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Kursus buat kali ke-8 ini juga mencatat sejarah dengan kehadiran 2 orang peserta berbangsa india iaitu saudara Raj dan juga Siva yang masing-masing berasal dari Penang dan juga Kedah. Ariela Enterprise mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta kursus kali ke-8 dan semoga ilmu dan diperolehi dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Bersama-sama ini dilampirkan gambar-gambar yang sempat dirakam sepanjang kursus kali ini untuk tatapan pengunjung web blog e-Cendawan.com.

Bagi yang tidak berkesempatan untuk menyertai kursus tanaman cendawan yang lepas, Ariela Enterprise sekali lagi akan menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan Kali Ke-9 pada 31hb Ogos 2008. Bagi sesiapa yang berminat boleh membuat tempahan tempat dengan mengisi borang online dibahagian kiri web blog ini. DAFTAR SEKARANG KERANA TEMPAT KEPADA 20 PESERTA TERAWAL.

CONTRACT FARMING

Salam Sejahtera.


Rakan niaga kami, GENTING PERMAI RESOURCES mempelawa pengusaha & bakal pengusaha tanaman cendawan tiram sekitar Daerah Hulu Selangor untuk menyertai "SKIM PERLADANGAN KONTRAK" kami. Dengan menyertai skim ini, anda tidak perlu lagi risau untuk memasarkan hasil cendawan anda. Jangan lepaskan peluang, Jaminan belian semula hasil cendawan pada harga yang menarik. Untuk Keterangan Lanjut Hubungi 013-341 8202 (Puan Zainon Ariffin)


USAHAWAN CENDAWAN TIRAM JOHOR

Sumber : Utusan Malaysia Online
MUAR 7 Julai – Pada asalnya beliau seorang kontraktor membina beberapa buah rumah atau bangsal tanaman cendawan di sekitar daerah ini.

Namun, setelah melihat sendiri bagaimana rumah cendawan itu beroperasi, Rashid Elias, 38, tertarik dan bertekad menceburi tanaman cendawan tiram kelabu yang kini diusahakannya di sebuah kawasan di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini sejak awal tahun ini.

Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya ‘Pleurotus sajor-cabu’ yang diusahakan oleh Rashid itu merupakan salah satu daripada tiga jenis cendawan tiram yang ditanam di negara ini selain cendawan tiram putih dan cendawan tiram abalone.

Berbekalkan modal sebanyak RM100,000, beliau membina sebuah rumah cendawan seluas 9.6 meter x 43.2 meter yang mampu memuatkan 50,000 bongkah beg tanaman cendawan yang disusun dalam rak-rak kayu.

“Meskipun baru dalam bidang ini, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai tanaman cendawan setiap hari dan apa yang saya nampak ialah tanaman cendawan ini agak rumit tetapi menyeronokkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat tanaman cendawan beliau, di sini baru-baru ini.

Menerusi syarikat Wirajaya Marketing yang dikendalikannya, Rashid yang menubuhkan syarikat itu sejak tahun 2002 kini mula mengusahakan tanaman cendawan dengan mengupah 15 pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung terbabit.

Proses tanaman cendawan tiram kelabu, katanya, memerlukan penggunaan habuk kayu getah serta beberapa campuran lain termasuk dedak padi serta kapur pertanian bagi mengelak daripada ianya menjadi masam.

Menurut Rashid, untuk memulakan tanaman cendawan ini, kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas yang berukuran 15.8 x 36.2 sentimeter (sm).

“Selepas itu, beg plastik tersebut akan dikukus dalam alat khas selama enam jam sebelum disejukkan selama 12 jam dan kemudiannya disuntik dengan benih cendawan.
“Beg-beg itu kemudian akan disusun dalam rumah cendawan untuk proses pengeraman selama 55 hingga 60 hari dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang,” jelasnya.

Katanya, bongkah-bongkah cendawan yang dikawal suhunya itu akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang. Setiap beg bongkah itu pula, katanya, akan mengeluarkan cendawan antara 200 hingga 300 gram bergantung kepada kesuburan benih dan ianya kemudian akan dipetik dan dibungkuskan sebelum dijual di pasaran.

Menurut Rashid, kesemua hasil tanaman itu akan dipasarkan ke pasar-pasar tani dan kedai runcit dan sepanjang pengalamannya mengusahakan tanaman itu, setiap 10,000 bongkah beg mampu menghasilkan 1.6 tan cendawan.

Rashid menambah, dia kini berhasrat menganjurkan seminar dan kursus tanaman cendawan dan sesiapa yang berminat beoleh menghubunginya di talian 06-9556300 atau 019-6592829 atau menerusi emel wjm_tt@yahoo.com.

LAPORAN KURSUS KALI KE-6 & BENGKEL CITARASA CENDAWAN
Salam sejahtera pengunjung web blog
e-cendawan.com

21 dan 22 Jun 2008 lepas, ARIELA Enterprise dan Crew e-Cendawan.com sekali lagi telah berjaya menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan buat kali ke-6 dan buat julung kalinya menganjurkan Bengkel Citarasa Cendawan.

Sesi kursus penanaman cendawan pada 21 Jun 2008 menerima kehadiran seramai 6 orang peserta yang rata-ratanya datang dari Perak, Penang dan Kedah. Format kursus berjalan seperti biasa dimana sebelah pagi adalah sesi teori dimana setiap peserta didedahkan dengan teknik-teknik penanaman cendawan yang berkesan bermula dari penyediaan rumah, anggaran kos projek, teknik penanaman dan penjagaan beg media sehinggalah kepada teknik pemasaran dan juga penerangan berkaitan peluang bantuan pinjaman atau dana dari bank dan agensi kerajaan. Sesi petang diteruskan dengan latihan praktikal menghasilkan beg media cendawan dan teknik penjagaan di Pusat Latihan dan Bilik Pameran Cendawan Ariela Enterprise. Ini bermakna kursus kami seimbang dengan teori dan juga praktikal iaitu tidak hanya bergantung kepada 100% praktikal. Berikut antara gambar yang sempat dirakam semasa kursus kali ke-6 dijalankan.




Bagi yang bercadang untuk menghadiri kursus penanaman cendawan, ARIELA Enterprise akan menganjurkan kursus ini pada 13, 27 dan 30 Julai 2008 nanti. Anda boleh pilih tarikh yang bersesuaian dengan anda.


Pada 22 Jun 2008, ARIELA Enterprise dengan kerjasama AKRAB NIAGA Enterprise telah menganjurkan Bengkel Citarasa Cendawan. Seramai 19 orang peserta hadir dalam program ini. Dalam bengkel ini peserta didedahkan dengan potensi produk hiliran berasaskan cendawan tiram. Setiap peserta di ajar bagaimana menghasilkan produk makanan sejuk beku berasaskan cendawan. Antara produk yang diajar adalah cendawan tempura, serunding cendawan, pau cendawan, pai cendawan, popiah cendawan, bebola cendawan dan banyak lagi.

Matlamat program Bengkel Citarasa Cendawan ini diperkenalkan kepada umum adalah untuk memberi pendedahan dan membuka minda orang ramai bahawa mengusahakan tanaman cendawan ini bukanlah semata-mata untuk meraih pulangan lumayan dengan menjualnya secara segar sahaja. Sebaliknya industri tanaman cendawan tiram ini perlu diperluaskan lagi dengan menghasilkan produk sampingan atau hiliran berasaskan cendawan. Cuba anda fikir-fikirkan, jika terlalu ramai penanam cendawan maka lambakan cendawan akan berlaku dipasaran. Oleh itu satu cara untuk mengatasi perkara ini adalah dengan menghasilkan produk hiliran berasaskan cendawan. Maka keseimbangan akan tercapai melalui kaedah ini sekaligus menjadikan industri cendawan terus berkembang dimana pengusaha cendawan boleh terus menjalankan aktiviti tanamannya dan pengusaha produk hiliran meneruskan aktiviti penghasilan produk makanan berasaskan cendawan ini dengan mendapatkan bekalan cendawan dari pengusaha tanaman tersebut.

Berikut adalah antara gambar yang sempat diambil untuk tatapan semua.


Gandingan mantap penceramah daripada ARIELA Enterprise,
Akrab Niaga Enterprise & Genting Permai Resources.


Peserta bengkel khusyuk mendengar taklimat berkaitan potensi
dan halatuju tanaman dan produk hiliran cendawan
dari Usahawan Cendawan Selangor Pn. Zainon Binti Ariffin.


Penerangan dan latihan praktikal penghasilan produk sejuk beku berasaskan cendawan.


Sesi bergambar antara peserta dan penganjur bengkel.

Bagi yang tidak dapat hadir bengkel citarasa cendawan kali ini, ARIELA Enterprise sekali lagi akan menganjurkan bengkel ini buat kali ke-2. Bengkel akan datang dirancang akan diadakan di Selangor. Ini adalah berikutan banyak permintaan daripada peserta yang berada di Lembah Kelang dan juga di negeri-negeri selatan tanah air. Nantikan tarikh dan tempat bengkel citarasa cendawan akan datang hanya di web blog e-Cendawan.com dan Genting Permai Resources.

LAPORAN KURSUS KALI KE-5 (15/6/2008)

AHAD, 15hb Jun 2008. ARIELA Enterprise dan Crew e-Cendawan.com dengan jayanya telah melangsungkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan (KIPC) buat kali ke-5. Kehadiran peserta kali ini agak sedikit berbanding kursus sebelumnya. Hanya 3 orang peserta sahaja yang hadir untuk kursus kali ini. Kesemua peserta datangnya dari Perak. Walaupun dengan kehadiran 3 orang peserta sahaja, Crew e-Cendawan.com tidak pernah berputus asa kerana kami tetap komited dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menyampaikan ilmu tentang penanaman cendawan kepada setiap individu yang berminat.

Apa yang menarik dengan kursus kali ini ialah salah satu beg media cendawan kami menghasilkan kelopak cendawan tiram yang bersaiz besar seperti gambar dibawah. Ukuran diameter cendawan ini adalah 14cm. Berikut adalah antara gambar yang sempat dirakam semasa hari kursus untuk tatapan pengunjung web blog e-cendawan.com.


Untuk sesiapa yang berminat untuk menghadiri kursus tanaman cendawan anjuran ARIELA Enterprise pada 21 dan 29hb Jun 2008 nanti boleh terus mendaftar secara online atau menghubungi 013-3911265 atau 013-4203614 untuk pendaftaran. Bagi yang berminat untuk hadir Bengkel Citarasa Cendawan bersama Puan Zainon Ariffin (Usahawan Cendawan Berjaya Selangor) pada 22hb Jun 2008 nanti, pendaftaran masih dibuka. Daftar sekarang kerana tempat adalah terhad.

LAGI BERITA USAHAWAN CENDAWAN

Sumber: Utusan Malaysia Online 30hb Mei 2008
Oleh: LAUPA JUNUS

NABIL TEKAD TANAM CENDAWAN.

"Bukan senang hendak tanam cendawan,'' demikian kata-kata yang terpacul dari mulut Nabil Sanusi, sebaik ditanya apakah beliau seronok dan tidak menyesal menceburi industri penanaman cendawan yang kini semakin popular itu.Kata-kata tersebut seakan satu 'pukulan balas' kepada mereka yang beria-ia ingin menceburi pertanian khususnya tanaman cendawan kerana membayangkan setiap helaian daun tanaman tersebut sebagai wang ringgit.

Kepada Nabil, membayangkan sesuatu yang menguntungkan boleh menjadi pendorong dalam setiap perkara yang diusahakan tetapi dengan syarat, perlu mengusai ilmu yang berkaitan untuk menjamin kejayaan.

Nabil, 37, yang kini terlibat dalam industri automotif pada mulanya hanya ingin mempelbagaikan sumber ekonominya dan memilih cendawan tiram kelabu untuk diusahakan.

Pada 2005, beliau ditawarkan mengusahakan tanaman orkid di Johor oleh Persatuan Penanam Orkid tetapi atas faktor tertentu dan lokasi yang agak jauh, Nabil menolak tawaran tersebut.

Namun tekadnya untuk mengusahakan sesuatu yang menguntungkan tidak pernah padam malah, sering terfikir melakukan sesuatu yang terbaik untuk masa depan.

Takdir telah menentukan beliau menceburi perusahaan tanaman cendawan apabila dipertemukan dengan seorang rakan di Nilai, Negeri Sembilan yang telah mengusahakan tanaman tersebut terlebih dahulu.

Beliau yang disarankan untuk mencuba bidang tersebut tidak menunggu lama, dan dengan sokongan keluarganya, Nabil mengambil keputusan untuk terlibat secara serius.

Nabil tidak perlu menunggu lama, sama ada kerana terpaksa menubuhkan syarikat atau membuat pinjaman terlebih dahulu, tetapi seperti kebanyakan usahawan pertanian masa kini, dia terus sahaja memulakan usaha di atas sekeping tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) milik keluarganya di Jalan Ahmad Khushasi, Jenderam Hulu, Sepang, Selangor.

PelaburanBerbekalkan wang simpanan, Nabil membuat pelaburan awal sebanyak RM200,000 untuk membina tiga rumah cendawan bersaiz 70 kaki x 30 kaki pada awal tahun lalu dan menambah empat rumah lagi secara berperingkat-peringkat.

Beliau juga mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat khas, NAS Agro Farm pada Oktober tahun lalu untuk menjalankan operasi di kawasan tanah tersebut yang pada asalnya dusun buah-buahan.

Tanpa meninggalkan kerjayanya sebelum ini, beliau menambah pelbagai kemudahan dan kelengkapan sebagai bukti kesungguhannya untuk terbabit secara serius.

Nabil yang turut dibantu isterinya, Surina Saad, juga terpaksa menggaji tujuh pekerja termasuk seorang penyelia memandangkan tanaman cendawan memerlukan tumpuan dan kerja yang banyak.

Ketika ini, dengan pelaburan keseluruhan kira-kira RM400,000, kompleks tanaman cendawan tersebut telah dikembangkan operasinya dengan tujuh rumah cendawan yang memuatkan kira-kira 200,000 polibeg. Rumah itu dilengkapi sebuah bilik suntikan benih, rumah menyediakan polibeg dan alat pengukusan dan alat mencampur adunan substrat (media).

"Saya juga sedang menyiapkan sebuah makmal menghasilkan benih cendawan menggunakan teknik kultur tisu bagi mengatasi masalah pengusaha untuk mendapatkan benih yang baik,'' ujarnya.

Kelengkapan tersebut, kata beliau, dapat disediakan dengan bantuan peruntukan Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.

Nabil menjelaskan, beliau akan memberi tumpuan kepada pengeluaran benih, sebagai satu cabang perniagaan baru dalam industri tanaman cendawan supaya pengusaha sedia ada mudah mendapatkan bekalan.

Bagaimanapun katanya, pengeluaran benih yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat hanya akan dikomersialkan seawal-awalnya enam bulan daripada sekarang.

Ini kerana, beliau perlu terlebih dahulu memastikan benih yang dihasilkan bermutu tinggi sebelum dipasarkan kepada pengusaha lain.

Mengenai kemungkinan beliau akan menambah kemudahan sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran, Nabil berkata, meskipun permintaan terhadap cendawan amat tinggi, tumpuan perlu diberikan kepada tanaman sedia ada.

"Saya hanya mampu mengeluarkan 50 kilogram (kg) cendawan sehari sedangkan permintaan yang diterima sekurang-kurangnya 150 kg sehari dan kadangkala mencecah 200 kg,'' ujarnya.

Tambahnya, cendawan merupakan tanaman yang sensitif dan memerlukan kawasan bersih sepanjang masa.

Penggunaan bahan kimia perlu dielakkan sama sekali tetapi pada masa yang sama kawalan penyakit perlu beri keutamaan.

Katanya, penyakit utama cendawan ialah kulat hijau dan oren dan ia boleh dikesan dengan memerhatikan sebarang perubahan warna pada polibeg yang telah disuntik dengan benih.

Cendawan katanya, boleh mengeluarkan hasil selepas dua bulan disuntik dan kemudiannya dieramkan.

Sepanjang tempoh dua bulan setengah berikutnya, kutipan hasil boleh dilakukan enam atau tujuh kali.

Setiap cendawan yang dipetik pula dianggarkan mempunyai berat antara 80 dan 100 gram.

Pada masa ini, beliau memasarkan cendawan harga RM7 sekilogram dengan pembeli datang sendiri ke ladangnya untuk mendapatkan bekalan.

Beliau juga akan cuba mengusahakan tanaman cendawan spesies abalone dan telinga kera yang merupakan cendawan yang sedap dan kenyal.

Syarikat Nabil juga akan menawarkan kursus kepada mereka yang berminat mendapatkan pengetahuan mengenai aspek penanaman cendawan dan sebuah bangunan khas untuk tujuan itu sedang dibina.

Dalam pada itu, beliau juga memulakan usaha awal menternak cacing untuk menghasilkan baja kompos dengan memanfaatkan semula bahan substrat yang telah digunakan.

Sebuah bangunan khas disediakan untuk tujuan itu.

Selepas lebih setahun beroperasi, usaha Nabil semakin menampakkan sinar yang diharapkan.

Tetapi bagi mereka yang berminat, dia sekali berpesan, supaya bertahan kerana cendawan bukan satu tanaman yang mudah diusahakan.

"Saya sendiri pernah dilanda pelbagai masalah terutama serangan penyakit yang memaksa polibeg yang mengandungi benih dimusnahkan selain serangan makhluk perosak,'' ujarnya.

BENGKEL CITARASA CENDAWAN DITUNDA

HARAP MAKLUM, BENGKEL CITARASA CENDAWAN PADA 18/5/2008 DITUNDA KE BULAN JUNE. TARIKH DAN TEMPAT AKAN DI BERITAHU KELAK. MAAF DIATAS SEBARANG KESULITAN. PENDAFTARAN MASIH DIBUKA KEPADA SESIAPA YANG BERMINAT.

MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI 013-4203614 @ 013-3911265
(Untuk Tempahan Tempat Sila Daftar Secara Online di Bahagian Kiri Web Blog Ini)