Eksperimen 1: Kaedah Rawatan Beg Media Bermasalah

Serangan serangga dan penyakit adalah perkara biasa dalam perusahaan tanaman cendawan. Jangkitan kulat kuning, hijau, hitam dan jingga disamping serangga dan ulat merupakan masalah utama dalam mengusahakan tanaman cendawan.


Apabila berlaku perkara sebegini, terutamanya serangan kulat kuning, hijau, hitam dan jingga. Langkah pertama yang biasa dilakukan adalah mengasingkan beg media yang bermasalah ini daripada beg media yang lain. Walaubagaimanpun ada sesetengah pengusaha yang tidak mahu mengambil risiko terus membuang beg media yang bermasalah ini.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan kaedah rawatan beg media bermasalah iaitu beg media yang diserang kulat hitam. Jika serangan bermula pada bahagian atas beg media iaitu di bawah leher, kita masih berpeluang untuk melakukan rawatan. Syaratnya maisilium sudah menjalar melebihi kawasan serangan kulat hitam tersebut. Langkah dibawah adalah cara atau kaedah rawatannya:-

1-Buka penutup eram dan leher pada media.
2-Cungkil keluar habuk kayu yang diserang kulat hitam tersebut.
3-Sterilkan leher dan penutup eram (rendamdalam larutan dettol).
4-Potong polibeg yang telah diserang kulat tersebut.
5-Pasangkan semula leher dan penutup eram yang telah disteril.


Kaedah ini juga boleh digunakan bagi beg media yang diserang kulat kuning dan hijau. Kaedah ini juga telah banyak dipraktikkan oleh ramai pengusaha cendawan di Malaysia. Sejauh mana keberkesanannya? Kita sama-sama nantikan laporan eksperimen ini hanya di e-cendawan.com

Laporan Perkembangan Maisilium Minggu ke-10

Isnin, 10hb September 2007 cendawan sulung sudah mula berputik pada beg cendawan berlabel no. 2, 5, 6, 7 dan 8. Dan pada 13hb September 2007 (selepas 4 hari penutup rehat dibuka) cendawan sedia dituai. Kebetulan pula hari pertama puasa cendawan tadi dituai. Jadi dapatlah saya merasa makan cendawan sulung yang saya hasilkan. Rezeki bulan Ramadhan agaknya. Alhamdulillah....


Gambar cendawan yang sudah berputik diawal pagi 13hb Sept. 2007

Satu daripada 5 beg cendawan tadi telah terkoyak rupanya. Jadi cendawan tidak keluar pada mulut beg cendawan sebaliknya keluar pada permukaan beg cendawan yang kotak tersebut. Apa yang menariknya cendawan yang keluar dari beg cendawan yang koyak tadi mempunyai kelopak yang besar jika dibandingkan dengan cendawan dari beg cendawan yang lain. Dari ukuran yang dibuat lebar kelopak cendawan tersebut mencecah 14cm.


Beg cendawan berlabel no. 2 yang bocor. Cendawan

pun ambil peluang keluar pada kebocoran tersebut.



Kelopak cendawan yang paling besar dihasilkan

14cm. Ada lagi ke yang lebih besar dari ni?....

Berat maksimum dari beg cendawan

direkodkan seberat 90 gran

Dari apa yang telah terhasil. Dapatlah dibuat kesimpulan daripada eksperimen ini bahawa beg cendawan yang tidak padat boleh mencapai usia matang hanya 65hari selepas ianya disuntik benih, dan masa yang diambil oleh cendawan untuk membesar sebelum ianya sesuai dituai pula adalah 3 ke 5 hari selepas penutup rehat dibuka. Walaubagaimanapun saya berpendapat keputusan ini mungkin berubah-ubah mengikut kawasan dan cuaca persekitaran.

Ikuti laporan eksperimen bagi 5 lagi beg cendawan yang padat di isi media hanya di e-cendawan.com



Assalamualaikum....

Di Bulan Ramadhan yang mulia ini, Kami di e-cendawan.com ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua pengunjung web blog ini dan semua umat Islam di Malaysia. Semoga anda diberkati Allah dalam menunaikan Rukun Islam yang ketiga. Amin.....



LAWATAN KE LADANG CENDAWAN FIRST LINK ENTERPRISE

Ahad, 9hb September 2007, Lawatan Sosial dan Ilmiah kali ke-4 telah dilakukan. Kali ini saya telah melawat Rumah Cendawan First Link Enterprise milik Ustaz Mahyudin dari Taman Damai Utama, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Ustaz Mahyudin dahulunya bekerja dengan sebuah Agensi Pelancongan Tempatan menguruskan perjalanan untuk pakej umrah dan haji. Tapi kini beliau ingin menumpukan perhatian dalam perniagaan berasaskan pertanian iaitu mengusahakan cendawan tiram kelabu secara komersil.

Rumah Cendawan Berdindingkan batu bata dan net hitam

Ustaz Mahyudin bernasib baik kerana tidak perlu membina rumah cendawan yang bernilai ribuan ringgit. Sebelum ini abang ipar beliau telah mengusahakan projek cendawan tiram ini, tetapi sudah ditinggalkan selama setahun. Dengan itu Ustaz Mahyudin menggunakan semula rumah cendawan tersebut dan mengusahakan kembali perniagaan milik keluarga dengan membuat beg media cendawan yang baru. Bermula pada 2hb August 2007 hingga kini. Sebanyak 4000 beg media cendawan telah dihasilkannya.



Rak cendawan setinggi 8 kaki

Rumah cendawan milik Ustaz Mahyudin hanya terletak bersebelahan dengan rumah kediamannya. Keluasan rumah cendawan adalah 20’ x 30’. Dilengkapi dengan rak besi yang tinggi. Dan satu-satu rak boleh memuatkan 4000 beg media cendawan. Jika beg media cendawan disusuun dengan rapi, rumah cendawan ini boleh memuatkan sebanyak 20,000 beg media cendawan dalam satu masa.

Ustaz Mahyudin mendapatkan ilmu penanaman cendawan ini daripada abang iparnya dan juga Tn. Hj. Dr. Johari daripada Atiqah Trading. Kini Ustaz Mahyudin bertungkus lumus menghasilkan beg media cendawan untuk memenuhi ruang rak-rak cendawan yang masih kosong. Sehari beliau boleh menghasilkan 200 beg media cendawan dengan dibantu oleh isterinya. Beliau juga telah menyuntik benih ATF40 yang dihasilkan oleh Atiqah Trading ke dalam beg media cendawannya. Hasil tuaian pertama dijangka akan dilakukan pada pertengahan bulan September.

Beg Media Cendawan yang disuntik

benih ATF40 disusun rapi diatas rak besi

Perancangan pada masa hadapan beliau akan membina sebuah lagi rumah cendawan dua tingkat bersebelahan dengan rumah cendawan sedia ada. Buat masa ini beliau masih membuat kertas kerja dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Pertanian Daerah Hulu Selangor untuk sokongan dan tindakan lanjut.

Kami di Ariela Enterprise mengucapkan tahniah dan maju jaya diatas usaha gigih Ustaz Mahyudin. Semoga kunjungan ini dapat menjalin hubungan erat antara ARIELA ENTERPRISE dan juga FIRST LINK ENTERPRISE. InsyaALLAH.

PERALATAN UNTUK BEG MEDIA CENDAWAN

Makluman kepada bakal pengusaha dan pengusaha cendawan. Syarikat kami ARIELA ENTERPRISE ada membekalkan peralatan untuk beg media cendawan seperti Polybag, Neck, Top cap dan Rest cap.


Untuk membeli, sila buat tempahan awal dengan menghubungi no. telefon 013-3911265 (Azhari).

Laporan Perkembangan Maisilium Minggu ke-9

Selasa, 4hb September 2007 genaplah 2 bulan atau 60 hari bagi 10 beg cendawan eksperimen saya. 5 beg cendawan telah dipenuhi maisilium iaitu beg berlabel no.2, 5, 6, 7 dan 8. Manakala beg cendawan berlabel no. 1, 3, 4, 9 dan 10 pula, maisilium hanya memenuhi kira-kira 75% hingga 90% daripada luas permukaan beg cendawan.

Beg cendawan berlabel no. 1,3,4,9 & 10 dengan maisiliumnya


dalam 75% ke 90% sudah menguasai luas permukaan beg.


Maisilium sudah penuh pada beg

cendawan berlabel no. 2,5,6,7 & 8

Beg cendawan berlabel no. 6 dan 8 yang telah dicungkil keluar spora dan gandum pada mulut beg cendawan tempohari (21hb Ogos 2007) tidak mengeluarkan hasil. Ini bermakna pada usia 45 hari maisilium belum cukup matang dan tidak boleh mengeluarkan cendawan. Apa yang dapat diperhatikan hanyalah serabut putih muncul pada mulut beg cendawan tersebut.

Kelihatan serabut putih pada mulut beg cendawan,

semakin menebal dari hari ke hari.

Oleh itu saya telah mengambil keputusan menutup kembali mulut beg cendawan tersebut dengan “stopper” atau penutup rehat pada 29hb Ogos 2007 dan hanya akan dibuka kembali pada 9hb September 2007 iaitu pada usianya 65 hari. Semalam 4hb September 2007 saya telah mencungkil keluar spora dan gandum pada beg cendawan berlabel no. 2, 5 dan 7. Mulut beg cendawan ini ditutup semula dengan “stopper” sehingga usia maisilium mencecah 70 hari dan hanya akan dibuka pada 14hb September 2007.

Jenis Cendawan Yang Berpotensi Di Malaysia.

Pada sesi taklimat Cendawan di Wisma Tani, Putrajaya pada 30hb Ogos 2007, saya telah dibekalkan dengan pamplet yang menerangkan jenis-jenis cendawan yang berpotensi untuk dijadikan tanaman komersil di Malaysia.


Di web blog e-cendawan.com ini saya lampirkan pamplet tersebut untuk dikongsi bersama peminat-peminat cendawan. Anda boleh muatturun atau mencetak pamplet tersebut dengan menggerakkan tetikus komputer anda ke gambar yang tertera dan klik butang save atau print.

Semoga maklumat-maklumat sebegini sedikit sebanyak dapat menarik minat rakyat Malaysia terutamanya golongan muda menceburi bidang pertanian secara komersil sekaligus dapat menjana ekonomi negara.

Kursus kali ke-15 Anjuran Atiqah Trading Agrotech

1hb September 2007, saya berkesempatan untuk melihat sendiri perjalanan kursus intensif penanaman cendawan anjuran Atiqah Trading Agrotech kali ke-15. Jika dulu kursus dijalankan di Showroom Al-Fadtullah Mushroom bertempat di Kg. Padang, Behrang Station, Perak. Tapi kini dan dimasa akan datang kursus cendawan dijalankan di Pusat Latihan dan Kajian Tanaman Cendawan milik Atiqah Trading Agrotech bertempat di Kg. Sungai Dara, Behrang Hulu, Perak iaitu kira-kira 10 minit perjalanan dari Proton City, Tg. Malim, Perak.

Gambar Peserta Kursus ke-15 bersama Tn. Hj. Dr. Johari


Peserta kursus sedang mendengar taklimat mengenai cendawan.

(yang kat belakang tu dengar ke tido?)

Pada kali ini, seramai 17 orang peserta mengambil bahagian. Bermula jam 8:00 pagi dengan sesi taklimat dan pengenalan kepada penanaman cendawan tiram kelabu dan pada sebelah petang pula sesi latihan praktikal iaitu cara membancuh media, penyediaan beg cendawan sehinggalah proses suntikan benih kedalam beg media. Latihan praktikal diberikan bertujuan untuk membolehkan peserta mengalami sendiri proses atau peringkat-peringkat dalam penanaman cendawan.




Cendawan yang dituai pada hari kursus 1-9-2007.

Lebar kelopak cendawan dalam 12cm.


Pada masa akan datang pihak pengurusan Atiqah Trading Agrotech bercadang untuk membina beberapa Chalet bersebelahan dengan Pusat Latihan & Kajian Cendawan ini untuk membolehkan pengunjung dan pelancong melihat sendiri kaedah penanaman cendawan dan mengikuti perkembangan dan pertumbuhan cendawan dengan lebih dekat.

Tahniah dari e-cendawan.com kepada Atiqah Trading Agrotech. Untuk maklumat kursus dan aktiviti anjuran Atiqah Trading Agrotech pada masa hadapan, layari web blog e- cendawan.com hanya di http://e-cendawan.blogspot.com/.