RE-UNION PESERTA KURSUS ATIQAH TRADING AGROTECH

Makluman kepada bekas peserta Kursus Intensif Penanaman Cendawan anjuran Atiqah Trading Agrotech. Satu perjumpaan akan diadakan bagi mengumpulkan semua bekas peserta-peserta kursus dilokasi dan tempat seperti berikut:-

Lokasi : Pusat Latihan Dan Kajian Tanaman Cendawan Tiram Atiqah Agrotech
No.88 Kampung Sungai Dara,
Jalan Canai, 35910 Behrang Stesyen,
Tg. Malim, PERAK.

Tarikh : 25hb Disember 2007

Masa : 8.30 pagi.

Tujuan re-union ini adalah untuk para peserta berkenalan dan berbincang berkaitan penanaman cendawan tiram. Agenda utama perjumpaan ini adalah untuk melantik wakil pengedar/pembekal peralatan penanaman cendawan bagi setiap negeri dan daerah seluruh Malaysia.

Semoga perjumpaan ini dapat memberi manfaat kepada semua bekas peserta kursus dan juga pengusaha-pengusaha cendawan tiram terutamanya pengusaha bumiputera.

Nantikan senarai nama pengedar/pembekal peralatan tanaman cendawan tiram seluruh negeri di Malaysia hanya di web blog e-cendawan.com

Lawatan Sosial Dan Ilmiah Kali ke-5

Sabtu, 10hb November 2007, Lawatan Sosial dan Ilmiah kali ke-5 telah dilakukan. Kali ini saya telah melawat Rumah Cendawan milik saudara Syamsul bertempat di Chandan Putri, Kuala Kangsar, Perak.Saudara Syamsul adalah seorang pengusaha cendawan OKU (Orang Kurang Upaya). Beliau telah memulakan perusahaan tanaman cendawan tiram ni dua tahun yang lepas iaitu sekitar tahun 2005. Pada mulanya beliau hanya usahakan secara kecil-kecilan sahaja iaitu sebanyak 1500 bongkah dan ditempatkan disebuah bangsal kecil dibelakang rumahnya.

Kegigihan saudara Syamsul mengusahakan tanaman cendawan tiram mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah Kuala Kangsar. Jabatan Pertanian telah memberi bantuan kepada saudara syamsul berupa sebuah rumah cendawan bersaiz 20’ x 30’ lengkap dengan rak cendawan diperbuat daripada besi 3 bulan lepas iaitu pada bulan Ogos lalu.


Rumah Cendawan Sumbangan Jabatan Pertanian. Cantik tu pintu rumah cendawan, siap syelek.

Dengan kemudahan rumah cendawan tersebut. Saudara Syamsul telah mengembangkan perusahaan tanaman cendawannya. Kini beliau sudah memenuhkan sekitar 3000 bongkah kedalam rumah cendawan baru beliau. Pada pemerhatian saya, rumah cendawan tersebut jika diatur dan disusun dengan teliti boleh memuatkan kira-kira 8000 ke 10000 bongkah dalam satu masa.


Beg media tersusun rapi diatas rak diperbuat daraipada besi


Beg media tidak aktif dipotong dua. Kutipan hasil akhir

akan diambil sebelum beg media ini dihapuskan

Dari segi pasaran, saudara Syamsul tidak mengalami sebarang masalah. Menurut beliau tanaman cendawannya mampu menghasilkan sekitar 5kg sehari. Cendawan keluaran saudara Syamsul dipasarkan ke Pasar Besar Kuala Kangsar pada harga RM8/kg. Kami dari Ariela Enterprise berasa amat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh saudara Syamsul. Kecacatan bukanlah batu penghalang untuk beliau berjaya dalam bidang pertanian. TAHNIAH.....semoga hasil lawatan ini dapat membina satu jaringan perniagaan antara Ariela Enterprise dengan saudara Syamsul.

PENGUMUMAN

SALAM SEJAHTERA KEPADA PELAWAT BLOG e-cendawan.com

SYARIKAT KAMI ARIELA ENTERPRISE AKAN BERPINDAH KE KUALA KANGSAR DAN AKAN MEMULAKAN OPERASINYA PADA 1hb NOVEMBER 2007.

SEGALA URUSAN RASMI BERKAITAN INDUSTRI TANAMAN CENDAWAN TIRAM HENDAKLAH MENGGUNAKAN ALAMAT BARU KAMI SEPERTI BERIKUT:-

ARIELA ENTERPRISE

No.9 PERSIARAN RIA 1.

TAMAN RIA FASA II, SAUK,

33500 KUALA KANGSAR,

PERAK.

Tel/Fax: +605-7512218

TERIMA KASIH DIATAS SEGALA SOKONGAN ANDA SELAMA INI.

Drpd:

MOHD. AZHARI BIN ASRI
Pengarah Urusan
Ariela Enterprise.

PERUSAHAAN TANAMAN CENDAWAN MAMPU MEMBERI PULANGAN LUMAYAN

Hasrat kerajaan kita untuk memperkasakan bidang pertanian semakin mendapat perhatian masyarakat. Mengusahakan industri pertanian secara komersil dikatakan mampu memberi pulangan yang lumayan..

Perusahaan cendawan merupakan salah satu perusahaan yang makin dikenali dan sering diperkatakan kebelakangan ini. Perusahaan yang tidak memerlukan tanah yang luas disamping modal yang tidak terlalu tinggi dan tidak memerlukan banyak tenaga bagi menghasilkan beg media untuk pertumbuhan cendawan antara sebab utama ramai yang ingin menceburkan diri dalam perusahaan tanaman cendawan ini.



Berikut adalah antara artikel akhbar online yang membuktikan perusahaan tanaman cendawan terutamanya cendawan tiram yang mampu memberi kejayaan dan pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.

Fikir-fikirkanlah, jika mereka boleh berjaya, mengapa kita tidak.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1218&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_03.htm&arc=hive

http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Tuesday/National/2060473/Article/index_html

Eksperimen 2: Kaedah Rawatan Beg Media Bermasalah

Salam bertemu lagi pelawat blog e-cendawan.com. Pada minggu lepas saya dapati 12 beg media saya diserang ulat halus dan 6 beg media lagi diserang ulat yang agak besar. Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang cara/kaedah merawat beg media cendawan yang diserang perosak iaitu ulat.

Kejadian ulat membiak di dalam beg media berkemungkinan disebabkan serangga yang berterbangan hinggap di atas span penutup peram semasa proses penyejukan. Beg media cendawan yang sudah di kukus akan mengeluarkan bau habuk kayu yang kuat. Mungkin bau tersebut menjadi tarikan serangga untuk menghampiri beg media dan hinggap diatas span sekaligus bertelur diatasnya. Jadi telur tersebut memasuki beg media melalui liang-liang kecil span dan menetas menjadi ulat. Ini semua anggapan saya, mungkin ada sebab-sebab lain yang tak dapat saya pastikan.

Jadi bila berhadapan situasi seperti ini, apa yang dapat kita lakukan adalah dengan membunuh ulat di dalam beg media tersebut. Berikut adalah kaedah yang saya lakukan untuk merawat beg media yang diserang ulat:-


1- Ulat bersaiz besar dan dapat dilihat dengan jelas seperti gambar diatas (kanan).

Caranya adalah ambil jarum, cucuk ulat tersebut di bahagian kepala dan ekornya (Jika cucuk dibahagian badan biasanya ulat tersebut masih boleh bergerak). Kemudian tampal bahagian yang berlubang kesan tusukan jarum pada beg media dengan selefon tape.

2- Ulat bersaiz kecil, sukar dilihat dan terlalu banyak di dalam beg media seperti gambar diatas (kiri).

Caranya ialah dengan mengukus semula beg media tersebut kira-kira sejam setengah atau sehingga semua ulat dalam beg media mati. Sejukkan beg media selama 2 hari 1 malam, dan kemudian suntik semula dengan benih cendawan yang baru. Tutup beg media dengan penutup rehat selama 2-minggu untuk mengelakkan beg media daripada jangkitan dan gantikan dengan penutup peram selepas 2 -minggu.

Jika dibiarkan ulat-ulat ini terus membiak didalam beg media, kesannya ialah benih pada leher beg media akan mati dan perkembangan maisilisium juga akan terjejas dan berkemungkinan mati (lihat gambar dibawah) .

Langkah Pencegahan:-

Selepas proses beg media di kukus dan semasa proses penyejukan dilakukan, jangan dedahkan beg media tersebut. Sebaiknya tutup dengan surat khabar agar tiada serangga dapat hinggap di atas span.

Selepas suntikan benih di lakukan, jangan tutup beg media dengan penutup peram, sebaliknya tutup dengan penutup rehat selama 2-minggu. Tujuannya untuk mencegah sebarang jangkitan/serangga pada beg media. Pada kebiasaanya jangkitan hanya akan berlaku dalam tempoh 2-minggu terawal selepas suntikan dilakukan. Selepas 2-minggu berlalu, barulah tukar penutup rehat dengan penutup peram.

KEPUTUSAN EKSPERIMEN:

Beg media yang telah dikukus dan disuntik semula benih cendawan baru pada 25hb September 2007 telah menampakkan maisilium pada 1hb Oktober 2007.


Bagaimanakah kualiti beg cendawan tersebut, kita sama-sama nantikan keputusannya hanya di web blog e-cendawan.com

Eksperimen 1: Kaedah Rawatan Beg Media Bermasalah

Serangan serangga dan penyakit adalah perkara biasa dalam perusahaan tanaman cendawan. Jangkitan kulat kuning, hijau, hitam dan jingga disamping serangga dan ulat merupakan masalah utama dalam mengusahakan tanaman cendawan.


Apabila berlaku perkara sebegini, terutamanya serangan kulat kuning, hijau, hitam dan jingga. Langkah pertama yang biasa dilakukan adalah mengasingkan beg media yang bermasalah ini daripada beg media yang lain. Walaubagaimanpun ada sesetengah pengusaha yang tidak mahu mengambil risiko terus membuang beg media yang bermasalah ini.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit maklumat berkaitan kaedah rawatan beg media bermasalah iaitu beg media yang diserang kulat hitam. Jika serangan bermula pada bahagian atas beg media iaitu di bawah leher, kita masih berpeluang untuk melakukan rawatan. Syaratnya maisilium sudah menjalar melebihi kawasan serangan kulat hitam tersebut. Langkah dibawah adalah cara atau kaedah rawatannya:-

1-Buka penutup eram dan leher pada media.
2-Cungkil keluar habuk kayu yang diserang kulat hitam tersebut.
3-Sterilkan leher dan penutup eram (rendamdalam larutan dettol).
4-Potong polibeg yang telah diserang kulat tersebut.
5-Pasangkan semula leher dan penutup eram yang telah disteril.


Kaedah ini juga boleh digunakan bagi beg media yang diserang kulat kuning dan hijau. Kaedah ini juga telah banyak dipraktikkan oleh ramai pengusaha cendawan di Malaysia. Sejauh mana keberkesanannya? Kita sama-sama nantikan laporan eksperimen ini hanya di e-cendawan.com

Laporan Perkembangan Maisilium Minggu ke-10

Isnin, 10hb September 2007 cendawan sulung sudah mula berputik pada beg cendawan berlabel no. 2, 5, 6, 7 dan 8. Dan pada 13hb September 2007 (selepas 4 hari penutup rehat dibuka) cendawan sedia dituai. Kebetulan pula hari pertama puasa cendawan tadi dituai. Jadi dapatlah saya merasa makan cendawan sulung yang saya hasilkan. Rezeki bulan Ramadhan agaknya. Alhamdulillah....


Gambar cendawan yang sudah berputik diawal pagi 13hb Sept. 2007

Satu daripada 5 beg cendawan tadi telah terkoyak rupanya. Jadi cendawan tidak keluar pada mulut beg cendawan sebaliknya keluar pada permukaan beg cendawan yang kotak tersebut. Apa yang menariknya cendawan yang keluar dari beg cendawan yang koyak tadi mempunyai kelopak yang besar jika dibandingkan dengan cendawan dari beg cendawan yang lain. Dari ukuran yang dibuat lebar kelopak cendawan tersebut mencecah 14cm.


Beg cendawan berlabel no. 2 yang bocor. Cendawan

pun ambil peluang keluar pada kebocoran tersebut.



Kelopak cendawan yang paling besar dihasilkan

14cm. Ada lagi ke yang lebih besar dari ni?....

Berat maksimum dari beg cendawan

direkodkan seberat 90 gran

Dari apa yang telah terhasil. Dapatlah dibuat kesimpulan daripada eksperimen ini bahawa beg cendawan yang tidak padat boleh mencapai usia matang hanya 65hari selepas ianya disuntik benih, dan masa yang diambil oleh cendawan untuk membesar sebelum ianya sesuai dituai pula adalah 3 ke 5 hari selepas penutup rehat dibuka. Walaubagaimanapun saya berpendapat keputusan ini mungkin berubah-ubah mengikut kawasan dan cuaca persekitaran.

Ikuti laporan eksperimen bagi 5 lagi beg cendawan yang padat di isi media hanya di e-cendawan.com



Assalamualaikum....

Di Bulan Ramadhan yang mulia ini, Kami di e-cendawan.com ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua pengunjung web blog ini dan semua umat Islam di Malaysia. Semoga anda diberkati Allah dalam menunaikan Rukun Islam yang ketiga. Amin.....