Assalamualaikum....

Di Bulan Ramadhan yang mulia ini, Kami di e-cendawan.com ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua pengunjung web blog ini dan semua umat Islam di Malaysia. Semoga anda diberkati Allah dalam menunaikan Rukun Islam yang ketiga. Amin.....



LAWATAN KE LADANG CENDAWAN FIRST LINK ENTERPRISE

Ahad, 9hb September 2007, Lawatan Sosial dan Ilmiah kali ke-4 telah dilakukan. Kali ini saya telah melawat Rumah Cendawan First Link Enterprise milik Ustaz Mahyudin dari Taman Damai Utama, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Ustaz Mahyudin dahulunya bekerja dengan sebuah Agensi Pelancongan Tempatan menguruskan perjalanan untuk pakej umrah dan haji. Tapi kini beliau ingin menumpukan perhatian dalam perniagaan berasaskan pertanian iaitu mengusahakan cendawan tiram kelabu secara komersil.

Rumah Cendawan Berdindingkan batu bata dan net hitam

Ustaz Mahyudin bernasib baik kerana tidak perlu membina rumah cendawan yang bernilai ribuan ringgit. Sebelum ini abang ipar beliau telah mengusahakan projek cendawan tiram ini, tetapi sudah ditinggalkan selama setahun. Dengan itu Ustaz Mahyudin menggunakan semula rumah cendawan tersebut dan mengusahakan kembali perniagaan milik keluarga dengan membuat beg media cendawan yang baru. Bermula pada 2hb August 2007 hingga kini. Sebanyak 4000 beg media cendawan telah dihasilkannya.



Rak cendawan setinggi 8 kaki

Rumah cendawan milik Ustaz Mahyudin hanya terletak bersebelahan dengan rumah kediamannya. Keluasan rumah cendawan adalah 20’ x 30’. Dilengkapi dengan rak besi yang tinggi. Dan satu-satu rak boleh memuatkan 4000 beg media cendawan. Jika beg media cendawan disusuun dengan rapi, rumah cendawan ini boleh memuatkan sebanyak 20,000 beg media cendawan dalam satu masa.

Ustaz Mahyudin mendapatkan ilmu penanaman cendawan ini daripada abang iparnya dan juga Tn. Hj. Dr. Johari daripada Atiqah Trading. Kini Ustaz Mahyudin bertungkus lumus menghasilkan beg media cendawan untuk memenuhi ruang rak-rak cendawan yang masih kosong. Sehari beliau boleh menghasilkan 200 beg media cendawan dengan dibantu oleh isterinya. Beliau juga telah menyuntik benih ATF40 yang dihasilkan oleh Atiqah Trading ke dalam beg media cendawannya. Hasil tuaian pertama dijangka akan dilakukan pada pertengahan bulan September.

Beg Media Cendawan yang disuntik

benih ATF40 disusun rapi diatas rak besi

Perancangan pada masa hadapan beliau akan membina sebuah lagi rumah cendawan dua tingkat bersebelahan dengan rumah cendawan sedia ada. Buat masa ini beliau masih membuat kertas kerja dan akan menyerahkannya kepada Jabatan Pertanian Daerah Hulu Selangor untuk sokongan dan tindakan lanjut.

Kami di Ariela Enterprise mengucapkan tahniah dan maju jaya diatas usaha gigih Ustaz Mahyudin. Semoga kunjungan ini dapat menjalin hubungan erat antara ARIELA ENTERPRISE dan juga FIRST LINK ENTERPRISE. InsyaALLAH.