Graduan Raih RM12,000 Sebulan Tanam Cendawan.

Oleh TOREK SULONG

PASIR PUTEH 25 Dis. – Walaupun bergelar graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), namun Nor Sanusi Mahmud, 25 tidak menyesal memilih untuk menceburi bidang tanaman cendawan.
Keputusan bijaknya itu membolehkan beliau meraih pendapatan sehingga RM12,000 sebulan.
Tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakannya sejak tahun 2004 kini menghasilkan sehingga 70 kilogram cendawan setiap hari.

Nor Sanusi yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, sewaktu mula menceburi perusahaan itu, dia hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM28,000 sahaja.

Menurutnya, idea untuk terlibat dalam penanaman cendawan yang diusahakan di Kampung Telaga Papan di sini timbul setelah melihat sendiri kejayaan petani di Hatyai, Thailand.
Kata beliau, dia kemudian membuat keputusan untuk mencuba teknologi penanaman cendawan seperti yang dilaksanakan di Hatyai itu sehinggalah kini berjaya menjadi pembekal utama cendawan ke pasar borong seluruh Kelantan.

‘‘Bezanya kaedah yang digunakan ialah saya bina bangsal cendawan dari kayu pokok gelam, batang nibung dan atap rumbia seperti yang dilakukan petani di Hatyai.
‘‘Dengan kaedah ini kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk membeli kayu dan atap asbestos yang semakin meningkat harganya seperti yang biasa dilakukan di negara ini,” katanya.

Tambah Sanusi, Pejabat Pertanian Pasir Puteh juga banyak membantu menjayakan projeknya dengan menyalurkan khidmat teknikal dan kepakaran termasuk kaedah penanaman yang sistematik.

‘‘Saya menjual cendawan ke beberapa tempat seperti Pasar Besar dan Pasar Borong Pasir Puteh dengan harga RM5.80 sekilogram.

‘‘Ia sudah cukup lumayan dengan pendapatan kasar sebanyak RM400 sehari,” katanya.
Beliau berkata, cendawannya mendapat permintaan tinggi bagi penghasilan masakan tomyam dan juga cendawan goreng yang diusahakan peniaga makanan di sekitar Kelantan dan sebahagian daerah di sempadan Kelantan dan Besut.

‘‘Saya sedia membantu usahawan baru khususnya belia lain yang berminat menceburi penanaman cendawan kerana prospeknya begitu baik ketika ini,” katanya.

Source : Utusan Online (26 Disember 2007)

KURSUS TANAMAN CENDAWAN PERTAMA

Pertanian Adalah Perniagaan. Satu slogan yang telah membuka mata masyarakat Malaysia untuk menceburi bidang pertanian. Penanaman cendawan antara bidang pertanian yang mendapat sambutan hangat masa ini. Kaedah penanamannya yang mudah dah tidak memerlukan modal yang besar telah menjadikannya satu bidang pertanian yang amat digemari masyarakat untuk diceburi.


Ahad 23hb Disember 2007 adalah hari pertama pihak Ariela Enterprise (e-cendawan.com) mengadakan kursus tanaman cendawan. Kursus tersebut bukanlah kursus formal anjuran Ariela Enterprise, sebaliknya adalah kursus tidak formal yang diberikan kepada saudara saya iaitu En. Zimil Azlan dari Pekan Razaki, Ipoh, Perak.


En. Zimil Azlan dan anak bongsu beliau sibuk membancuh media


Atas minat dan semangat untuk mendapatkan ilmu penanaman cendawan ini. Seawal jam 9.00 pagi En. Zimil Azlan telah tiba di bangsal cendawan saya. Kursus dijalankan secara ringkas dari bancuhan media cendawan, penyediaan beg media, pengukusan beg media sehinggalah proses suntikan benih. Walaupun ringkas, diharapkan ilmu yang disampaikan oleh kami di Ariela Enterprise akan menyuntik semangat saudara Zimil Azlan untuk menjadi antara pengusaha cendawan tiram kelabu berjaya pada masa akan datang, InsyaAllah.

Makluman untuk semua. Pihak kami akan menjalankan Kursus Insentif Tanaman Cendawan pada tahun hadapan. Kepada sesiapa yang berminat untuk menghadiri kursus tersebut, jangan lupa untuk melayari web blog e-cendawan.com bagi mengetahui maklumat lanjut tentang kursus tersebut.