LAPORAN KURSUS KALI KE-6 & BENGKEL CITARASA CENDAWAN
Salam sejahtera pengunjung web blog
e-cendawan.com

21 dan 22 Jun 2008 lepas, ARIELA Enterprise dan Crew e-Cendawan.com sekali lagi telah berjaya menganjurkan Kursus Intensif Penanaman Cendawan buat kali ke-6 dan buat julung kalinya menganjurkan Bengkel Citarasa Cendawan.

Sesi kursus penanaman cendawan pada 21 Jun 2008 menerima kehadiran seramai 6 orang peserta yang rata-ratanya datang dari Perak, Penang dan Kedah. Format kursus berjalan seperti biasa dimana sebelah pagi adalah sesi teori dimana setiap peserta didedahkan dengan teknik-teknik penanaman cendawan yang berkesan bermula dari penyediaan rumah, anggaran kos projek, teknik penanaman dan penjagaan beg media sehinggalah kepada teknik pemasaran dan juga penerangan berkaitan peluang bantuan pinjaman atau dana dari bank dan agensi kerajaan. Sesi petang diteruskan dengan latihan praktikal menghasilkan beg media cendawan dan teknik penjagaan di Pusat Latihan dan Bilik Pameran Cendawan Ariela Enterprise. Ini bermakna kursus kami seimbang dengan teori dan juga praktikal iaitu tidak hanya bergantung kepada 100% praktikal. Berikut antara gambar yang sempat dirakam semasa kursus kali ke-6 dijalankan.




Bagi yang bercadang untuk menghadiri kursus penanaman cendawan, ARIELA Enterprise akan menganjurkan kursus ini pada 13, 27 dan 30 Julai 2008 nanti. Anda boleh pilih tarikh yang bersesuaian dengan anda.


Pada 22 Jun 2008, ARIELA Enterprise dengan kerjasama AKRAB NIAGA Enterprise telah menganjurkan Bengkel Citarasa Cendawan. Seramai 19 orang peserta hadir dalam program ini. Dalam bengkel ini peserta didedahkan dengan potensi produk hiliran berasaskan cendawan tiram. Setiap peserta di ajar bagaimana menghasilkan produk makanan sejuk beku berasaskan cendawan. Antara produk yang diajar adalah cendawan tempura, serunding cendawan, pau cendawan, pai cendawan, popiah cendawan, bebola cendawan dan banyak lagi.

Matlamat program Bengkel Citarasa Cendawan ini diperkenalkan kepada umum adalah untuk memberi pendedahan dan membuka minda orang ramai bahawa mengusahakan tanaman cendawan ini bukanlah semata-mata untuk meraih pulangan lumayan dengan menjualnya secara segar sahaja. Sebaliknya industri tanaman cendawan tiram ini perlu diperluaskan lagi dengan menghasilkan produk sampingan atau hiliran berasaskan cendawan. Cuba anda fikir-fikirkan, jika terlalu ramai penanam cendawan maka lambakan cendawan akan berlaku dipasaran. Oleh itu satu cara untuk mengatasi perkara ini adalah dengan menghasilkan produk hiliran berasaskan cendawan. Maka keseimbangan akan tercapai melalui kaedah ini sekaligus menjadikan industri cendawan terus berkembang dimana pengusaha cendawan boleh terus menjalankan aktiviti tanamannya dan pengusaha produk hiliran meneruskan aktiviti penghasilan produk makanan berasaskan cendawan ini dengan mendapatkan bekalan cendawan dari pengusaha tanaman tersebut.

Berikut adalah antara gambar yang sempat diambil untuk tatapan semua.


Gandingan mantap penceramah daripada ARIELA Enterprise,
Akrab Niaga Enterprise & Genting Permai Resources.


Peserta bengkel khusyuk mendengar taklimat berkaitan potensi
dan halatuju tanaman dan produk hiliran cendawan
dari Usahawan Cendawan Selangor Pn. Zainon Binti Ariffin.


Penerangan dan latihan praktikal penghasilan produk sejuk beku berasaskan cendawan.


Sesi bergambar antara peserta dan penganjur bengkel.

Bagi yang tidak dapat hadir bengkel citarasa cendawan kali ini, ARIELA Enterprise sekali lagi akan menganjurkan bengkel ini buat kali ke-2. Bengkel akan datang dirancang akan diadakan di Selangor. Ini adalah berikutan banyak permintaan daripada peserta yang berada di Lembah Kelang dan juga di negeri-negeri selatan tanah air. Nantikan tarikh dan tempat bengkel citarasa cendawan akan datang hanya di web blog e-Cendawan.com dan Genting Permai Resources.