SALAM AIDILADHA


Salam Aidiladha kepada semua pembaca/pengunjung web blog e-cendawan.com. Kepada mereka yang mempunyai sanak saudara di Tanah Suci mengerjakan ibadat haji didoakan mereka sihat dan dapat melaksanakan Rukun Islam ini dengan sempurna, insyaAllah.

KURSUS INTENSIF PENANAMAN CENDAWAN-ANJURAN CHINI AGRO

Klik untuk besarkan gambar

Tekno Tani (BERITA HARIAN): Lelaki buta cekal usaha tanaman cendawan

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail

“KERJA sebagai peminta sedekah hanya sedap di mata, tetapi sakit di hati,” kata Amat Tamsir Busra, yang cacat penglihatan, tetapi berjaya membuktikan kekurangan itu bukan halangan untuk menjadi petani berjaya bagi menyara hidupnya dan keluarga. Amat atau lebih mesra dipanggil Haji Mat, 58, adalah orang kurang upaya (OKU) tunggal di negara ini yang menceburi bidang pertanian dengan menjadikan tanaman cendawan tiram sebagai punca pendapatan sejak 20 tahun lalu. Beliau yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kapar, Klang, Selangor sanggup menempuh pelbagai onak dan duri dan bergolok bergadai jika keadaan memerlukan bagi memastikan cita-citanya mengusahakan tanaman cendawan menjadi kenyataan daripada mengharapkan simpati orang lain.

Amat pernah mendapat latihan pertanian di Taman Harapan, Temerloh, Pahang, selama tiga tahun dan pernah mengusahakan tanaman sayuran, menternak ayam dan mengusahakan kantin sekolah selama dua tahun. Beliau mengusahakan tanaman cendawan sejak 1987 dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan termasuk Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Pejabat Pertanian Daerah Klang dengan modal permulaan RM700. Amat pada mulanya ragu-ragu untuk memilih sama ada menanam cendawan tiram atau memelihara ikan keli dalam sangkar yang juga menjanjikan pendapatan lumayan.

“Waktu itu saya agak keliru untuk membuat keputusan. Akhirnya saya memilih untuk mengusahakan tanaman cendawan tiram selepas melakukan solat istikharah bagi memohon petunjuk,” katanya yang memperoleh idea menanam cendawan dan memelihara ikan keli selepas mendengar program pertanian di radio. Sejak itu, Amat tidak menoleh ke belakang dan terus mengorak langkah menjadi orang buta tunggal menanam cendawan tiram di negara ini dengan mendirikan dua pondok menempatkan benih cendawan yang ditanam dan membesar. Setiap pondok itu mampu menempatkan kira-kira 4,000 beg plastik hitam dan jika tiada serangan penyakit atau serangga perosak, setiap beg mampu menghasilkan cendawan seberat 300 gram.

Walaupun tidak menyatakan dengan tepat pendapatan yang diperoleh sebulan hasil tanaman cendawan tiram, Amat mengaku mampu hidup senang dan cukup untuk menampung kehidupan beliau, isterinya, Norliza Abdullah dan anak tunggal mereka, Mohd Taufik, 6 tahun.

Amat yang cacat penglihatan sejak berumur empat tahun selepas diserang demam panas berkata, beliau tidak mengalami masalah untuk menyediakan tapak semaian cendawan dalam polibeg kerana dianugerahkan deria rasa dan sentuh yang kuat. Setiap hari beliau melakukan sendiri kerja memasukkan serbuk sekam, dedak dan kapur pertanian dalam polibeg, membungkus serta mengikat dan dimasukkan benih cendawan sebelum disusun atas rak dalam pondok.

Katanya, semua kerja itu dilakukan sendiri kerana isterinya sibuk dengan tugas harian sebagai guru di sebuah sekolah menengah berdekatan, manakala anak tunggalnya masih kecil. Beliau sebelum ini pernah mengupah seorang pekerja untuk membantunya, tetapi terpaksa diberhentikan kerana tidak puas hati dengan hasil kerja lelaki itu. Amat berkata, cendawan itu perlu dijaga rapi untuk mengelak terkena penyakit dan setiap hari juga beliau menghabiskan banyak masa meneliti setiap polibeg di samping menyiram dengan penyembur air. Cendawan tiram memerlukan dua bulan untuk matang dan Amat menanam mengikut giliran bagi memastikan hasilnya diperoleh setiap masa dan bekalan kepada pelanggan tidak terputus.

“Menerusi deria rasa dan sentuhan, saya tahu jika cendawan itu diserang penyakit. Kerja membuang dan mengalihkan polibeg perlu dilakukan segera,” katanya. Beliau bersyukur cendawan tiramnya mendapat permintaan tinggi dan dijual di kedai runcit ahli keluarganya di samping mempunyai pelanggan tetap termasuk di kalangan guru yang menempah menerusi isterinya.

Cendawan tiramnya dijual lebih mahal berbanding cendawan lain iaitu RM10 sekilogram kerana menyifatkan cendawannya istimewa dan tidak lekang apabila digoreng. “Cendawan tiram ini tidak menghadapi masalah untuk dijual kerana permintaannya melebihi pengeluaran. Ada ketika, cendawan belum lagi sesuai dipetik kerana masih kecil, tetapi sudah ada yang menempah dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Semangat kental yang dibuktikan Amat itu mendorong anak syarikat Johor Corporation, Johor Intrapreneur (M) Berhad menyumbang modal permulaan RM5,000 untuk usahawan tani itu membina lebih banyak pondok yang menempatkan polibeg. Kegigihan beliau turut mendapat perhatian penerbit Tijarah Ramadan di TV1 yang disiarkan Ramadan lalu.