USAHAWAN CENDAWAN TIRAM JOHOR

Sumber : Utusan Malaysia Online
MUAR 7 Julai – Pada asalnya beliau seorang kontraktor membina beberapa buah rumah atau bangsal tanaman cendawan di sekitar daerah ini.

Namun, setelah melihat sendiri bagaimana rumah cendawan itu beroperasi, Rashid Elias, 38, tertarik dan bertekad menceburi tanaman cendawan tiram kelabu yang kini diusahakannya di sebuah kawasan di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini sejak awal tahun ini.

Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya ‘Pleurotus sajor-cabu’ yang diusahakan oleh Rashid itu merupakan salah satu daripada tiga jenis cendawan tiram yang ditanam di negara ini selain cendawan tiram putih dan cendawan tiram abalone.

Berbekalkan modal sebanyak RM100,000, beliau membina sebuah rumah cendawan seluas 9.6 meter x 43.2 meter yang mampu memuatkan 50,000 bongkah beg tanaman cendawan yang disusun dalam rak-rak kayu.

“Meskipun baru dalam bidang ini, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai tanaman cendawan setiap hari dan apa yang saya nampak ialah tanaman cendawan ini agak rumit tetapi menyeronokkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat tanaman cendawan beliau, di sini baru-baru ini.

Menerusi syarikat Wirajaya Marketing yang dikendalikannya, Rashid yang menubuhkan syarikat itu sejak tahun 2002 kini mula mengusahakan tanaman cendawan dengan mengupah 15 pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung terbabit.

Proses tanaman cendawan tiram kelabu, katanya, memerlukan penggunaan habuk kayu getah serta beberapa campuran lain termasuk dedak padi serta kapur pertanian bagi mengelak daripada ianya menjadi masam.

Menurut Rashid, untuk memulakan tanaman cendawan ini, kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas yang berukuran 15.8 x 36.2 sentimeter (sm).

“Selepas itu, beg plastik tersebut akan dikukus dalam alat khas selama enam jam sebelum disejukkan selama 12 jam dan kemudiannya disuntik dengan benih cendawan.
“Beg-beg itu kemudian akan disusun dalam rumah cendawan untuk proses pengeraman selama 55 hingga 60 hari dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang,” jelasnya.

Katanya, bongkah-bongkah cendawan yang dikawal suhunya itu akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang. Setiap beg bongkah itu pula, katanya, akan mengeluarkan cendawan antara 200 hingga 300 gram bergantung kepada kesuburan benih dan ianya kemudian akan dipetik dan dibungkuskan sebelum dijual di pasaran.

Menurut Rashid, kesemua hasil tanaman itu akan dipasarkan ke pasar-pasar tani dan kedai runcit dan sepanjang pengalamannya mengusahakan tanaman itu, setiap 10,000 bongkah beg mampu menghasilkan 1.6 tan cendawan.

Rashid menambah, dia kini berhasrat menganjurkan seminar dan kursus tanaman cendawan dan sesiapa yang berminat beoleh menghubunginya di talian 06-9556300 atau 019-6592829 atau menerusi emel wjm_tt@yahoo.com.