Eksperimen 2: Kaedah Rawatan Beg Media Bermasalah

Salam bertemu lagi pelawat blog e-cendawan.com. Pada minggu lepas saya dapati 12 beg media saya diserang ulat halus dan 6 beg media lagi diserang ulat yang agak besar. Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang cara/kaedah merawat beg media cendawan yang diserang perosak iaitu ulat.

Kejadian ulat membiak di dalam beg media berkemungkinan disebabkan serangga yang berterbangan hinggap di atas span penutup peram semasa proses penyejukan. Beg media cendawan yang sudah di kukus akan mengeluarkan bau habuk kayu yang kuat. Mungkin bau tersebut menjadi tarikan serangga untuk menghampiri beg media dan hinggap diatas span sekaligus bertelur diatasnya. Jadi telur tersebut memasuki beg media melalui liang-liang kecil span dan menetas menjadi ulat. Ini semua anggapan saya, mungkin ada sebab-sebab lain yang tak dapat saya pastikan.

Jadi bila berhadapan situasi seperti ini, apa yang dapat kita lakukan adalah dengan membunuh ulat di dalam beg media tersebut. Berikut adalah kaedah yang saya lakukan untuk merawat beg media yang diserang ulat:-


1- Ulat bersaiz besar dan dapat dilihat dengan jelas seperti gambar diatas (kanan).

Caranya adalah ambil jarum, cucuk ulat tersebut di bahagian kepala dan ekornya (Jika cucuk dibahagian badan biasanya ulat tersebut masih boleh bergerak). Kemudian tampal bahagian yang berlubang kesan tusukan jarum pada beg media dengan selefon tape.

2- Ulat bersaiz kecil, sukar dilihat dan terlalu banyak di dalam beg media seperti gambar diatas (kiri).

Caranya ialah dengan mengukus semula beg media tersebut kira-kira sejam setengah atau sehingga semua ulat dalam beg media mati. Sejukkan beg media selama 2 hari 1 malam, dan kemudian suntik semula dengan benih cendawan yang baru. Tutup beg media dengan penutup rehat selama 2-minggu untuk mengelakkan beg media daripada jangkitan dan gantikan dengan penutup peram selepas 2 -minggu.

Jika dibiarkan ulat-ulat ini terus membiak didalam beg media, kesannya ialah benih pada leher beg media akan mati dan perkembangan maisilisium juga akan terjejas dan berkemungkinan mati (lihat gambar dibawah) .

Langkah Pencegahan:-

Selepas proses beg media di kukus dan semasa proses penyejukan dilakukan, jangan dedahkan beg media tersebut. Sebaiknya tutup dengan surat khabar agar tiada serangga dapat hinggap di atas span.

Selepas suntikan benih di lakukan, jangan tutup beg media dengan penutup peram, sebaliknya tutup dengan penutup rehat selama 2-minggu. Tujuannya untuk mencegah sebarang jangkitan/serangga pada beg media. Pada kebiasaanya jangkitan hanya akan berlaku dalam tempoh 2-minggu terawal selepas suntikan dilakukan. Selepas 2-minggu berlalu, barulah tukar penutup rehat dengan penutup peram.

KEPUTUSAN EKSPERIMEN:

Beg media yang telah dikukus dan disuntik semula benih cendawan baru pada 25hb September 2007 telah menampakkan maisilium pada 1hb Oktober 2007.


Bagaimanakah kualiti beg cendawan tersebut, kita sama-sama nantikan keputusannya hanya di web blog e-cendawan.com

No comments: