Lawatan ke Ladang Cendawan Fatisha Agro Farm.

Jumaat 31, Ogos 2007, Sesi Lawatan Sosial dan Ilmiah kali ke-3. Pada kali ini sempena cuti Sambutan Kemerdekaan Negara Malaysia kali ke -50 saya berkesempatan melawat ke salah satu ladang cendawan di Negeri Selangor. Ladang yang dimaksudkan ialah Ladang Cendawan Fatisha Agro Farm milik Cik Rusila Binti Yusof.

Cik Rusila Binti Yusof adalah anak kelahiran Negeri Terengganu. Berpendidikan Ijazah Sarjana @ Master dalam bidang Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM. Menyedari bidang pertanian terutamanya penanaman cendawan tiram kelabu mempunyai potensi dan pulangan pendapatan yang lumayan, beliau telah mengambil keputusan untuk bergiat secara sepenuh masa dalam industri tanaman cendawan tiram kelabu ini.




Antara beg cendawan yang dihasilkan sendiri

oleh Cik Rusila. Tersususn rapi diatas rak kayu.


Bermula dengan menanam cendawan tiram sebanyak 300 ke 400 bongkah sahaja dan ditempatkan di belakang rumah sewanya. Kini Cik Rusila beralih kepada penanaman cendawan secara komersil dengan membina sebuah rumah cendawan bersaiz 20’ x 40’ diatas tanah seorang penduduk tempatan yang disewanya bertempat di Sungai Ramal Dalam, Kajang. Rumah cendawan ini didapati boleh menempatkan kira-kira 10 ribu ke 12 ribu bongkah atau beg cendawan dalam satu masa.


Stok habuk kayu yang telah diserang pemyakit (Kulat Oren)

Bercerita mengenai penanaman cendawan, Cik Rusila sendiri tidak terlepas daripada masalah dan penyakit cendawan. Serangan kulat hijau dan kuning antara penyakit cendawan yang sering terjadi disamping serangan serangga. Yang paling menakutkan beliau ialah penyakit kulat oren atau merah jingga yang terjadi berpunca dari sebaran angin. Kegagalan mengatasi penyakit kulat oren ini boleh menyebabkan semua bongkah cendawan berjangkit. Setakat ini beliau telah melupuskan beratus-ratus beg cendawan yang diserang penyakit-penyakit ini. Kecekalan dan ketabahan diri perlu ada pada setiap pengusaha cendawan agar dapat menghadapi situasi sebegini.

Kami di e-cendawan.com amat kagum dengan semangat dan kecekalan Cik Rusila dalam mengusahakan tanaman cendawan tiram ini. Jarang-jarang kita dapat jumpa seorang wanita yang begitu yakin dan teguh pendirian dalan menceburi bidang pertanian. Tahniah diucapkan. Semoga hasil lawatan ini dapat menjalinkan hubungan erat antara FATISHA AGRO FARM dengan ARIELA ENTERPRISE. Akhir kata sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Cik Rusila Binti Yusof diatas kesudian beliau menerima kunjungan saya sekeluarga.

No comments: