Lawatan ke Ladang Cendawan GENTING PERMAI RESOURCES.

Cuti hujung minggu kali ini saya luangkan masa untuk mengunjungi Ladang cendawan Genting Permai Resources yang bertempat di Batang kali, Selangor. Ladang cendawan ini menjadi lokasi pertama Sesi Lawatan Sosial dan Ilmiah yang telah lama saya rancang selama ini.

Lebih kurang 30 minit perjalanan dengan menaiki kereta dari kediaman saya di Tanjung Malim, Perak akhirnya saya tiba di Ladang Cendawan Genting Permai Resources milik Puan Zainon Bt. Ariffin. Setibanya di sana, saya dan keluarga disambut mesra oleh Puan Zainon dan anak lelakinya.


Gambar kenangan. Tanda hubungan antara
Genting Permai Resources dan Ariela Enterprise.

Ladang cendawan milik Puan Zainon terletak diatas tanah seluas 1-1/2 ekar milik keluarga. Terdapat 3 rumah cendawan yang dibina disana. Sebuah rumah eraman bersaiz 20’ x 40’ dan 2 buah rumah tuai bersaiz 20’ x 30’. Rumah-rumah cendawan milik Puan Zainon dijaga dengan rapi. Lokasinya dibawah rimbunan pokok membuatkan suasana di rumah-rumah cendawan redup dan sekaligus suhu persekitaran sentiasa terkawal. Selain itu Jabatan Pertanian juga telah bermurah hati meminjamkan 2 buah rumah kuarter kepada Puan Zainon untuk menempatkan blok/beg cendawan-cendawan yang dihasilkannya.

Ni lah salah satu rumah cendawan
milik Puan Zaitun. Kemas dan teliti binaannya.


Puan Zainon dahulunya berkerja dengan Telekom Malaysia . Beliau bersara awal dan dengan sedikit wang pampasan yang diperolehinya beliau memberanikan diri, menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu. Hasilnya sekarang kurang 2 tahun beliau sudah berjaya memiliki semula modal yang telah dilaburkannya.

Beg Cendawan yang tersusun rapi. Satu rak boleh
memuatkan sebanyak 1500 beg/blok cendawan.


Dari segi pemasaran, Puan Zainon tidak mengalami masalah. Beliau telah menandatangani kontrak dengan CIMA Agro selama 3 tahun. Hasil tuaian cendawan beliau akan diambil oleh CIMA Agro untuk dipasarkan. Baru-baru ini beliau juga telah menerima kontrak membekalkan cendawan kepada seorang rakyat Jepun. Dengan kontrak baru ini beliau perlu membekalkan cendawan tiram sebanyak 200kg seminggu.

Menurut beliau, kadang-kala ladang cendawan miliknya tidak dapat untuk memenuhi permintaan rakyat Jepun tersebut. Untuk mengatasi masalah tersebut, beliau telah mendapatkan bantuan bekalan cendawan dari beberapa orang pengusaha cendawan tiram sekitar Daerah Hulu Selangor.

Pada masa hadapan beliau dengan kerjasama FAMA bercadang untuk memasarkan cendawan tiram kelabu ke pasaraya besar seperti Giants, Carrefour dan Tesco. Perbincangan telah dilakukan dan kertas kerja telah diserahkan kepada FAMA.Untuk mencapai matlamat ini beliau perlu mendapatkan bekalan cendawan dalam kuantiti yang besar. Oleh itu beliau menyeru kepada pengusaha-pengusaha kecil cendawan sekitar Selangor bergabung menjadi komuniti yang besar bagi merealisasikan hasrat beliau.

Hampir dua jam saya berada di Ladang Cendawan Genting Permai Resources milik Puan Zainon ini, berborak dan bercerita berkenaan cendawan. Kira-kira jam 11.30 pagi saya pun meminta izin untuk beredar.. Sebelum beredar Puan Zainon bekalkan saya dengan 200g cendawan tiram kelabu segar yang baru dituai.


Cendawan segar yang diberi oleh Puan Zainon


Cendawan yang diberi oleh Puan Zainon selepas digoreng.
Makan cecah dengan sos dan mayonis... yum..yum sedapnya.

Semoga hasil lawatan ini dapat menjalinkan hubungan erat antara GENTING PERMAI RESOURCES dengan ARIELA ENTERPRISE. Akhir kata sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Puan Zainon atas kesudian beliau menerima kunjungan saya sekeluarga.

1 comment:

cosign45 said...

Salam..Puan Zainon buat kursus juga tak?....berminat nak tengok ladang cendawannya...Bulan 6 ni saya akan pindah ke Bukit Sentosa 3(rumah sendiri yang disewakan sejak 4 tahun lepas)..cadang nak buat tanaman cendawan kat dalam rumah...(tapak asal kat gombak...tunggu buat jalan )